Perolehan baharu lonjak nilai kontrak Kerjaya Prospek kepada RM4.7 bilion | DagangNews Skip to main content

Perolehan baharu lonjak nilai kontrak Kerjaya Prospek kepada RM4.7 bilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Okt - Kenanga Research menyemak naik harga sasaran Kerjaya Prospek Bhd. kepada RM1.50 daripada RM1.42 sesaham sebelum ini dengan mengekalkan pandangan 'outperform'.

 

Semakan itu dibuat selepas meningkatkan gandaan pendapatan bagi segmen pembinaan kepada 13x (daripada 11x) yang mencerminkan penyertaannya dalam ruang pertumbuhan baharu seperti pembinaan kilang semikonduktor.  

 

Menurut firma itu, kumpulan telah memperoleh kontrak untuk membina kilang semikonduktor buat pertama kalinya daripada Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn. Bhd. bernilai RM1.45 bilion.

 

"Perolehan terbaharu ini secara tidak langsung telah meningkatkan penambahan nilai kontrak baharunya setakat ini sebanyak RM1.57 bilion, melebihi andaian kami bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak RM1.5 bilion.

 

"Ia juga melonjakkan nilai kontraknya kepada paras tertinggi sebanyak RM4.7 bilion. Kami menjangkakan kontrak baharu ini akan memperoleh margin kira-kira 10%, sejajar dengan keseluruhan anggaran kumpulan kami," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Konsortium Kerjaya Prospek raih kontrak bina kilang bernilai RM1.45 bilion di Melaka

 

Kerjaya Prospek memperoleh kontrak itu menerusi konsortium yang dibentuk oleh anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd. (KPM) dan Samsung C&T (KL) Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Samsung C&T Corp., firma kejuruteraan dan pembinaan Korea Selatan yang disenaraikan di Korean Stock Exchange.

 

Projek pembinaan kilang di Melaka itu akan bermula pada 21 November 2022 dan mengambil masa selama 28 bulan untuk disiapkan. 

 

Kenanga Research bagaimanapun menjangkakan kumpulan tidak akan memperoleh sebarang kontrak baharu bagi baki tahun ini. 

 

Sebaliknya, ia menjangkakan penambahan nilai kontrak yang mendatar pada FY23 sebanyak RM1.5 bilion disokong nilai tender bernilai RM1.5 bilion, penambakan dan kontrak binaan daripada unitnya dan pembinaan pusat data/kilang semikonduktor dengan rakan kerjasamanya, Samsung.

 

"Sementara itu, masalah kekurangan buruh yang dihadapi kumpulan akan berkurangan dengan ketibaan 400 hingga 500 pekerja baharu (dijangka keseluruhan 750 menjelang akhir tahun ini.

 

"Dengan itu, kami melihat kerja-kerja pembinaan akan meningkat pada FY23 terutamanya disokong nilai kontrak kumpulan," katanya.


Setakat 12.17 tengah hari, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.83% kepada RM1.19 dengan 235,300 saham diniagakan. - DagangNews.com