KUALA LUMPUR 15 Ogos - Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) memberikan sokongan penuh terhadap keputusan Kerajaan Malaysia menyelaraskan pengurusan pekerja asing di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Penubuhan Pusat Sehenti Pekerja Asing (OSC) di bawah Bahagian Pengurusan Pekerja Asing KDN adalah satu inisiatif yang disambut baik oleh MARGMA.
Dengan keputusan KDN, proses pengurusan pekerja asing dijangka menjadi lebih cekap dengan kelulusan oleh KDN, proses pengurusan pekerja asing dijangkakan menjadi lebih cekap.
MARGMA berkata, langkah kerajaan untuk menyelaraskan pengurusan pekerja asing di bawah satu kementerian adalah satu langkah yang proaktif dan berstrategi.
“Kami percaya langkah ini akan meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan proses dengan ketara bagi majikan dalam industri sarung tangan getah serta sektor ekonomi yang lain,” kata MARGMA dalam kenyataan hari ini.
Persatuan itu mengharapkan pendekatan berpusat itu membolehkan perniagaan bertindak balas pantas terhadap perubahan dalam keadaan ekonomi dan keperluan industri.
“Dalam era di mana kelajuan dan ketepatan adalah kunci kejayaan, akses yang dipermudahkan kepada tenaga kerja asing akan membantu industri sarung tangan getah Malaysia, yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya.
Menurut persatuan itu, industri sarung tangan getah di Malaysia sangat bergantung kepada tenaga kerja yang stabil dan cekap, terutamanya ketika pandemik COVID-19 di mana permintaan sarung tangan getah melonjak.
MARGMA turut melaporkan dalam tempoh enam bulan pertama 2024, eksport sarung tangan getah Malaysia melonjak sebanyak 17.2%, mencapai RM6.8 bilion ( AS$1.44 bilion) berbanding RM5.8 bilion (AS$1.31 bilion) pada tempoh yang sama tahun lepas.
Menurut data MARGMA, industri sarung tangan getah Malaysia menyumbangkan lebih 60% daripada eksport produk getah negara.
“Sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, industri ini memerlukan sokongan yang kukuh dari segi pengurusan tenaga kerja untuk terus berkembang dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” ujar persatuan itu.
Sementara itu, MARGMA bersikap optimis bahawa OSC KDN akan memudahkan proses permohonan yang lebih lancar, membolehkan majikan seperti mereka dalam industri sarung tangan getah, memenuhi keperluan buruh mereka dengan cekap- DagangNews.com