Pertandingan ‘DIY Made Simple’ kembali lagi, penyertaan kini dibuka | DagangNews Skip to main content

Pertandingan ‘DIY Made Simple’ kembali lagi, penyertaan kini dibuka

KUALA LUMPUR 5 Mei  - MR DIY Group (M) Bhd. dengan kerjasama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares), akan melancarkan edisi ke-6 pertandingan tahunan terkenalnya, ‘DIY Made Simple’.

 

Pertandingan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan untuk menggalakkan para pelajar memahami dan menghargai impak positif budaya ‘buat sendiri’ (do it yourself, DIY) ke atas negara dan komuniti-komunitinya. 

 

Ia turut menyediakan platform kepada para pelajar untuk menonjolkan kreativiti mereka dengan meneroka pelbagai tema DIY yang berbeza.

 

Tema tahun ini, ‘Menghadapi Norma Baharu: Transformasi Sekolah’ menyeru para pelajar untuk mencari jalan mempertingkatkan kemudahan-kemudahan di sekolah mereka sambil menyesuaikan diri dengan norma baharu dengan memulakan projek-projek DIY menggunakan bahan-bahan yang dikitar semula.

 

 

MR DIY

 

 

Pengerusi Kumpulan MR DIY, Datuk Azlam Shah Alias berkata, semasa mengumumkan pelancaran pertandingan tersebut, ‘DIY Made Simple’ bukan sekadar satu pertandingan, kerana ia menggalakkan perkongsian idea tentang cara-cara untuk mempraktikkan lebih banyak amalan mesra alam, menggalakkan budaya menaik taraf dan mengguna semula, dan seterusnya melahirkan komuniti-komuniti yang mampan, diperkasa, dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan. 

 

Katanya, ia juga merupakan salah satu daripada cara kumpulan menambah nilai kepada komuniti-komuniti di mana syarikat beroperasi, selari dengan matlamat-matlamat kemampanannya.

 

"Sokongan KPM dan kerjasama UMCares membolehkan kami meningkatkan kemahiran 865 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara sejak pertandingan ini dilancarkan pada 2017.

 

"Memandangkan Malaysia kini telah memasuki fasa endemik dan sekolah-sekolah telah dibuka semula, kami teruja untuk menyaksikan idea-idea kreatif dan unik untuk mengubah sisa buangan menjadi sesuatu yang berguna dan mampan untuk dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Penyertaan untuk edisi pertandingan ‘DIY Made Simple’ 2022 kini sedang dibuka. Para pelajar yang berminat untuk mengambil bahagian boleh menghantar penyertaan video mereka sehingga 20 Mei 2022. 

 

Satu panel pengadil yang terdiri daripada wakil-wakil dari Universiti Malaya (UM), MR DIY dan KPM akan menilai kesemua penyertaan dan menyenarai pendek 98 pasukan (7 sekolah dari setiap negeri) untuk pembentangan cadangan dan prototaip dari 31 Mei hingga 21 Julai 2022. 

 

Sebanyak 18 finalis akan dipilih untuk bekerjasama dengan para pensyarah dari Fakulti Bina Alam UM untuk mentransformasi idea-idea sekolah mereka menjadi realiti semasa pusingan Akhir. 

 

Fasa terakhir itu akan dijalankan dari 22 Julai hingga 25 September 2022, dan para pemenang akan diumumkan pada Oktober. - DagangNews.com