Pertelingkahan politik, punca KLCI merudum 38 mata pada Julai | DagangNews Skip to main content

Pertelingkahan politik, punca KLCI merudum 38 mata pada Julai

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Akibat pergolakan politik yang semakin tegang akhir Julai lalu, akhirnya menjejaskan sentimen pasaran saham tempatan. 

 

Ia menyebabkan indeks utama FBM KLCI menjunam 38 mata atau 2.5% hingga 'tergelincir' daripada paras 1,500 mata, menurut CGS-CIMB dalam laporan bulanannya bagi Julai.

 

Dengan mengakhiri dagangan paa 1,494 mata pada bulan tersebut, ia adalah paras terendah sejak 4 November 2020.

 

"Prestasi lemah ini berpunca daripada 3 faktor utama iaitu jangkitan harian COVID-19 yang masih kekal tinggi, kebimbangan terhadap ketidakstabilan politik dan protes #Lawan (yang menuntut kerajaan meletakkan jawatan)," katanya. 

 

Ketidakstabilan politik di dalam negara mencapai 'kemuncak' apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan dukacita terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung Ordinan Darurat.

 

Semakin mengeruhkan keadaan apabila persidangan Parlimen ditangguhkan rentetan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara yang sepatutnya menjadi sidang khas untuk membentangkan Pelan Pemulihan Negara dalam memerangi wabak itu.

 

Susulan itu, wujud desakan dari pihak pembangkang yang menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya sebagai Perdan Menteri.

 

Menurut CGS-CIMB, prestasi lemah pasaran tempatan juga disebabkan tindakan pelabur asing yang terus menjual ekuiti tempatan pada bulan tersebut.

 

Pada Julai, katanya, jualan asing ini meningkat 14% bulan ke bulan kepada RM1.3 bilion, lebih tinggi berbanding RM1.2 bilion pada bulan sebelumnya.

 

Ini menjadikan keseluruhan penjualan ekuiti setakat 7 bulan ini berjumlah RM5.5 bilion. 

 

"Bagaimanapun, pelabur institusi tempatan kembali membeli ekuiti tempatan pada Julai berjumlah RM120 juta, setelah menyaksikan jualan ekuiti yang tinggi pada Jun sebanyak RM1.2 bilion," jelasnya.

 

Pelabur runcit pula masih kekal membeli ekuiti tempatan meskipun, ia menyaksikan penurunan 53% bulan ke bulan kepada RM804 juta berbanding RM1.69 bilion pada bulan sebelumnya. 

 

Jumlah dan nilai purata dagangan harian masing-masing menyusut ke paras terendah sejak April 2020 dengan jumlah dagangan merosot 15% kepada 5.1 bilion unit manakala nilai dagangan jatuh 10% kepada RM3.1 bilion.

 

"Sepanjang Julai ini juga, sektor yang teknologi dan perindutrian mencatat prestasi yang baik, tetapi sebaliknya bagi sektor tenaga, perladangan dan pengangkutan," tambah firma itu.

 

Secara keseluruhan, bursa tempatan mencatat prestasi kedua terburuk selepas Thailand dalam kalangan pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST) pada Julai.

 

"Kerugian yang dialami pasaran tempatan merosot sehingga 8.1% tahun ke tahun dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini," katanya.

 

CGS-CIMB berkata, pelabur akan terus memerhati perkembangan politik tanahair pada Ogos apabila Parlimen kembali bersidang setelah tertangguh akibat penularan wabak COVID-19. 

 

"Dalam masa sama, masih belum jelas bagaimana ordinan darurat ini akan diselesaikan kelak," menurutnya.

 

Selain itu, katanya, prestasi ekonomi suku kedua yang akan diumumkan 13 Ogos ini, hasil korporat bagi suku kedua dan penularan varian Delta akan menjadi penentu pergerakan prestasi pasaran sepanjang bulan ini. 

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran KLCI menjelang akhir tahun ini sekitar 1,604 mata bergantung kepada situasi semasa politik, kadar vaksinasi dan sejauh mana penularan wabak COVID-19. - DagangNews.com