Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
SHAH ALAM 15 Okt. - FGV Holdings Berhad (FGV) dimaklumkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat yang ia akan mempertimbangkan petisyen untuk membatalkan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan pada 30 September lalu terhadap minyak sawit dan produk sawit keluaran FGV.
Menurut FGV, syarikat itu pada 8 Oktober lalu, telah berkomunikasi dengan CBP melalui panggilan persidangan untuk mendapatkan penjelasan mengenai hasil siasatannya dan juga mengenai langkah-langkah yang harus diambil oleh FGV untuk pembatalan WRO.
"Maklumat mengenai penemuan siasatan CBP amat penting bagi membolehkan FGV menangani dan menyelesaikan jurang yang masih ada dalam amalan syarikat.
"Walau bagaimanapun, CBP tidak dapat mendedahkan maklumat yang ditemui kecuali hasil siasatannya yang telah mengenal pasti 11 indikasi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai buruh paksa dalam amalan syarikat FGV.
"CBP tidak mendedahkan sebarang maklumat lain mengenai hasil siasatannya termasuk sifat atau lokasi kejadian yang berkaitan dengan indikasi-indikasi tersebut," kata FGV dalam kenyataan di sini hari ini.
BACA : FGV KECEWA TINDAKAN AMERIKA SYARIKAT
BACA : Amerika Syarikat halang pengimportan minyak sawit FGV Holdings
Menurut FGV lagi, CBP memaklumkan bahawa ia akan mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan WRO bersama-sama dengan maklumat atau laporan yang terhasil dari audit oleh firma audit pihak ketiga yang boleh dipercayai, dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
"Sehubungan dengan ini, FGV kini sedang berkomunikasi dengan beberapa organisasi bebas untuk mencari pilihan dalam menjalankan audit bagi operasi FGV pada masa yang akan datang. FGV menjangka pelantikan firma audit tersebut akan selesai dalam beberapa minggu lagi dan akan meneruskan audit tidak lama kemudian,'' kata syarikat itu.
"FGV komited dalam mengambil langkah-langkah wajar untuk membatalkan WRO. FGV mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada CBP atas kesediaannya untuk membincangkan perkara ini dengan FGV, dan FGV berharap dapat meneruskan perhubungan dengan CBP.
"FGV kekal komited dalam melaksanakan rancangan tindakan di bawah afiliasinya dengan Fair Labor Association (FLA). Rancangan tindakan FLA tersebut boleh diakses di laman web FGV di www.fgvholdings.com. Laporan kemajuan seterusnya mengenai pelaksanaan rancangan tindakan ini akan diterbitkan pada 31 Mac 2021," kata FGV.
FGV akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material yang berkaitan dengan perkara ini. - DagangNews.com