Pertumbuhan ekonomi 2023 kembali normal, disokong pemulihan aktiviti ekonomi dan pasaran buruh - MoF | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan ekonomi 2023 kembali normal, disokong pemulihan aktiviti ekonomi dan pasaran buruh - MoF

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Feb - Walaupun berdepan persekitaran luaran yang mencabar, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3% pada suku keempat tahun 2023 (Q423), disokong permintaan domestik berdaya tahan yang meningkat sebanyak 5.2% pada Q423 (Q323: 4.8%).

 

Kementerian Kewangan berkata, ini membantu mengurangkan kemerosotan 3.2% dalam perdagangan Malaysia apabila eksport merosot berikutan permintaan global yang perlahan.

 

"Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi Malaysia kembali normal kepada 3.7% pada 2023, berikutan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (2022: 8.7%).

 

"Pertumbuhan setahun penuh untuk 2023 adalah lebih rendah sedikit daripada unjuran  Belanjawan 2024 iaitu kira-kira 4%," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, pertumbuhan pada Q4 2023 disokong oleh asas ekonomi yang bertambah baik, antara lain kerana pasaran buruh mencatatkan momentum pertumbuhan positif pada Q4 2023, dengan kadar pengangguran menurun kepada tahap sebelum pandemik sebanyak 3.3% (Q3 2023: 3.4%).

 

Katanya, inflasi turun kepada 1.6% (Q3 2023: 2%), memberikan kepercayaan bahawa strategi Kerajaan untuk merasionalkan subsidi tidak menyebabkan kejutan kepada keseluruhan ekonomi.

 

"Bagi bulan Disember 2023, kadar inflasi utama menyederhana kepada 1.5% dan ini adalah lebih rendah daripada ekonomi lebih maju dan serantau lain seperti Zon Euro (2.9%), Republik Korea (3.2%), Amerika Syarikat (3.4%), Filipina (3.9%) dan Indonesia (2.6%).

 

"Pelaburan langsung asing (FDI) bersih memperoleh RM17.1 bilion pada Q4 2023 (Q3 2023:
RM7.2 bilion)," jelas kenyataan itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pertumbuhan ekonomi Malaysia menyusut ke paras 3.7 peratus pada 2023 daripada 8.7 peratus pada 2022

 

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan permintaan domestik yang berterusan menandakan agenda reformasi Kerajaan MADANI mula membuahkan hasil yang positif. 

 

Katanya, selain daripada penyusunan semula fiskal yang berterusan, yang memberi manfaat bersama kepada Kerajaan dan rakyat, usaha untuk meningkatkan tadbir urus dan kemudahan menjalankan perniagaan telah merangsang aktiviti ekonomi dan secara beransur-ansur memulihkan keyakinan pelabur di Malaysia.

 

pm

 

“Kerajaan MADANI yakin dapat mencapai pertumbuhan yang lebih kukuh antara 4% hingga 5% pada tahun 2024 di atas asas kukuh dan pembaharuan yang dipetakan dalam Ekonomi MADANI dan Belanjawan 2024,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

 

Beliau menambah, Kerajaan berazam untuk mengecilkan lagi defisit fiskal kepada 4.3% tahun ini, selaras dengan komitmen dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. 

 

"Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 5% pada 2023 daripada 5.6% pada 2022,” katanya.- DagangNews.com