Pertumbuhan MM2H Sarawak sebanyak 3,200% bukti Malaysia kekal destinasi popular – Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan MM2H Sarawak sebanyak 3,200% bukti Malaysia kekal destinasi popular – Juwai IQI

Sibu, Sarawak
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Pertumbuhan Malaysia My Second Home (MM2H) di Sarawak sebanyak 3,200% menunjukkan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi paling menarik di Asia Tenggara, menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

 

MM2H merupakan program ditawarkan Kerajaan Malaysia untuk warga asing dan ekspatriat di seluruh dunia yang ingin memohon pas jangka panjang lima tahun dan boleh diperbaharui di Malaysia.

 

Ansari berkata pihak berkuasa di Sarawak telah pun meluluskan 406 permohonan setakat akhir Julai 2023, yang menunjukkan setahun penuh 2023 mungkin berjumlah 700.

 

“Jika anda dibandingkan anggaran 700 kelulusan Sarawak pada 2023 dengan 27 kelulusan dikeluarkan pada 2021, pertumbuhan kelihatan dramatik, bersamaan pertumbuhan 3,200%.

 

 

Kashif Ansari
Kashif Ansari

 

 

“Angka-angka ini menunjukkan masih terdapat permintaan antarabangsa yang mencukupi untuk menjayakan MM2H negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Di samping itu, beliau berkata kadar kelulusan yang tinggi adalah bukti bahawa program itu menarik minat orang yang disasarkan oleh rakyat Malaysia.

 

Golongan disasarkan itu adalah mereka yang berbelanja agak besar dan cenderung membeli atau menyewa rumah di lokasi pelancongan, di samping tidak bersaing dengan rakyat Malaysia untuk mendapatkan perumahan.

 

Ansari mendedahkan bahawa deposit minimum yang lebih rendah, pengurangan pemastautin dan keperluan pendapatan menjadikan MM2H Sarawak pilihan yang menarik untuk penduduk antarabangsa

 

MM2H di Sarawak, katanya, memerlukan deposit bank minimum RM150,000 (AS$32,000), manakala tempoh pemastautin adalah 30 hari setahun dan pendapatan tahunan minimum sebanyak RM84,000 (AS$18,000).

 

Di samping itu, beliau berkata kelebihan unik Malaysia, termasuk pemilikan hartanah untuk warga asing dan kos sara hidup yang lebih rendah, membezakan MM2H daripada pesaing besarnya di rantau ini iaitu Thailand, Indonesia, Kemboja dan Filipina.

 

Oleh demikian, Ansari berkata Juwai IQI mengunjurkan bahawa bilangan pemohon MM2H dan Sarawak-MM2H akan kekal stabil pada 2024 disokong oleh kejayaan program berkenaan yang menekankan daya tarikan Malaysia yang berterusan dalam kalangan ekspatriat dan pesara.

 

“MM2H memupuk peningkatan perbelanjaan dan pekerjaan serta meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan jangka panjang.

 

“Walaupun terdapat persaingan daripada negara jiran, gabungan unik gaya hidup, kekayaan budaya dan kelebihan kewangan Malaysia akan menarik ramai penduduk antarabangsa pada 2024,” kata Ansari.  - DagangNews.com