Peter S. Zaffino dilantik CEO baharu AIG | DagangNews Skip to main content

Peter S. Zaffino dilantik CEO baharu AIG

 


NEW YORK, 27 Okt. - Syarikat insurans terkemuka global AIG melantik Peter S. Zaffino sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuatkuasa 1 Mac 2021.

Perlantikan Zaffino yang juga merupakan Presiden syarikat insurans gergasi itu bagi menggantikan CEO sekarang, Brian Duperreault yang bakal menyandang portfolio baharu sebagai Pengerusi Eksekutif di syarikat tersebut. 

Zaffino

Menurut laporan Malay Mail hari ini, Peter telah memainkan peranan penting dalam proses pemulihan dan transformasi perniagaan AIG selama ini. 

"Dengan visi, keazaman dan kecemerlangan berterusan beliau, kami yakin AIG di bawah kepemimpinan Peter akan terus maju dan mengecapi kejayaan masa hadapan," kata Duperreault.

Berbekalkan lebih tiga dekad pengalaman dalam industri perniagaan insurans dan insurans semula, Zaffino mula menyertai AIG pada Julai 2017 selepas hampir dua tahun berkhidmat sebagai Pengerusi di Jabatan Perniagaan Insurans & Risiko (Marsh and Guy Carpenter) Marsh & McLennan Companies (MMC) selain menyandang jawatan CEO di Marsh sejak 2011. 

Sebelum menyandang jawatan di Marsh, beliau juga merupakan Presiden dan CEO Guy Carpenter, iaitu syarikat pertama yang disertainya sejak 2001 sepanjang tahun 2008 sehingga 2011. 

Selain berita pelantikan Peter, AIG turut mengumumkan rancangan untuk memisahkan perniagaan insurans hayat dan persaraan daripada unit insurans am, sekali gus menringkaskan struktur korporat bagi mendorong keuntungan yang lebih tinggi.

Peter berkata, keputusan untuk memisahkan perniagaan insurans hayat dan persaraan daripada unit insurans am telah lama dibuat setelah meneliti semua aspek.

"Langkah pengeluaran perniagaan insurans hayat dan persaraan daripada AIG diyakini dapat memperkukuh lagi perniagaan AIG dan kami percaya usaha ini dapat mendorong penilaian berterusan yang lebih baik dan sewajarnya," jelas Peter. 

Sebagai syarikat insurans gergasi terbesar di dunia pada suatu ketika dahulu, AIG pernah berada di ambang kejatuhan dan hampir gulung tikar. 

Pada September 2008, AIG pernah berdepan dengan kontrak berbilion dolar AS dan cuba mencari kecairan dari Federal Reserve Bank of New York.

Malah, kerajaan Amerika Syarikat (AS) juga berjaya menyelamatkan AIG menerusi ikat jamin berkontroversi bernilai RM758 bilion yang akhirnya dilangsaikan sepenuhnya oleh AIG selepas krisis tersebut. - DagangNews.com