Petra Energy cadang lupus kapal Petra Lyra berharga RM18.45 juta kepada Great Sky Investments | DagangNews Skip to main content

Petra Energy cadang lupus kapal Petra Lyra berharga RM18.45 juta kepada Great Sky Investments

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - Petra Energy Berhad menerusi Petra Marine Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Great Sky Investments Corporation, sebuah syarikat yang dicalonkan oleh Star Chance Limited bagi pelupusan kapal Petra Lyra berharga AS$3.95 juta (RM18.45 juta).

 

Kapal itu dibina pada 2009 dan kini sedang berlayar di bawah bendera Malaysia.

 

Petra Energy mendedahkan bahawa Star Chance merupakan syarikat Seychelles, yang terlibat dalam perniagaan pemilikan dan penyewaan kapal yang memberi perkhidmatan kepada industri minyak dan gas.

 

Bagaimanapun, maklumat pegangan saham Star Chance tidak didedahkan.

 

Petra Energy berkata, pelupusan itu tepat pada masanya untuk mengewangkan aset tidak berprestasi dalam kumpulan dan menilai aset pada harga yang berpatutan.

 

"Pada masa yang sama, pelupusan itu akan menghasilkan penjimatan masa depan dari segi kos simpanan tahunan, pengaktifan semula dan dok kering," kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini. 

 

Petra Energy berkata sebahagian daripada hasil yang akan dikumpul daripada pelupusan itu akan digunakan untuk modal kerja, manakala selebihnya untuk dividen khas, tetapi tidak menyatakan bahagian untuk pengagihan pemegang saham.

 

Kumpulan itu akan mengiktiraf kerugian pelupusan bersih sebanyak RM552,961 daripada urus niaga itu, yang tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham. Pelupusan itu dijangka siap pada 27 Disember ini.

 

Tidak termasuk Petra Lyra, Petra Energy mempunyai sejumlah tujuh kapal termasuk kapal kerja, bot penginapan dan kapal tunda pengendalian sauh (AHTS).

 

Kumpulan yang berpangkalan di Sarawak itu juga menjalankan perkhidmatan fabrikasi, sambungan dan pentauliahan, serta kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir dalam sektor minyak dan gas. - DagangNews.com