Petronas Chemicals akan merekodkan prestasi FY22 yang kukuh, HLIB kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals akan merekodkan prestasi FY22 yang kukuh, HLIB kekal saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Petronas Chemicals Group Bhd. akan merekodkan satu lagi tahun kewangan yang kukuh berdasarkan kepada prestasi cemerlang pada separuh pertama 2022. 

 

Kumpulan merekodkan untung bersih lebih tinggi pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM1.9 bilion daripada RM1.86 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya di sebalik pengeluaran dan jumlah jualan yang lebih rendah. 

 

Ini menyaksikan pendapatan pada suku berkenaan meningkat 17% kepada RM6.58 bilion daripada RM5.6 bilion terutamanya didorong harga produk yang lebih tinggi berikutan harga minyak mentah dan gas yang tinggi.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, pendapatan dan keuntungan bersih masing-masing meningkat 29% dan 19% kepada RM13.2 bilion dan RM3.9 bilion berbanding tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Baca : Harga minyak mentah, gas lonjak keuntungan bersih Petronas Chemicals kepada RM1.9 bilion

 

Dalam nota kajian hari ini, HLIB berkata, walaupun sebaran produk telah meningkat daripada kemuncaknya pada suku kedua, tetapi Petronas Chemicals masih boleh mencatatkan suku berikutnya yang lebih kukuh tanpa sebarang pemulihan loji yang dirancang pada 2022.

 

Selain itu, katanya, ia juga memberi panduan kadar penggunaan bercampur disasar mencapai sekurang-kurangnya 90% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), berbanding setakat ini mencecah 72%.

 

"Kami juga menekankan bahawa pengambilalihan Perstop dijangka selesai pada Oktober ini dan pembukaan semula ekonomi China akan membantu meningkatkan sebaran produk Petronas Chemicals dan pendapatan pada suku keempat ini.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan kumpulan berada dalam landasan untuk merekodkan satu lagi prestasi yang baik bagi FY22," katanya. 

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Petronas Chemicals dengan harga sasaran tidak berubah pada RM11.76 sesaham. 

 

Setakat 11.31 pagi ini, harga sahamnya menokok 12 sen atau 1.38% kepada RM8.58 dengan 1.14 juta saham diniagakan. - DagangNews.com