Pharmaniaga optimis mampu bekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac bulan depan | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga optimis mampu bekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac bulan depan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pharmaniaga Berhad menjangkakan kumpulan dapat membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan pada Julai 2021 yang cukup untuk kira-kira 18% populasi Malaysia. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, vaksin itu baru-baru ini telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pengiktirafan berkenaan telah melonjakkan keyakinan.

 

“Kami positif terhadap prospek kumpulan pada tahun ini dan menjangkakan prestasi tahun kewangan 2021 (FY21) yang lebih baik dengan mempercepatkan bekalan vaksin COVID-19 Sinovac. 

 

“Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan China (CFDA) telah memberikan kelulusan kecemasan bagi vaksin COVID-19 Sinovac untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun dan pembuatan dua dos setiap botol, baru-baru ini. 

 

Zulkarnain Md Eusope
Zulkarnain Md Eusope

 

“Kami gembira dengan perkembangan baharu ini dan akan menghantar dokumen berkaitan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk proses pengesahan. Setelah menerima kelulusan, kami boleh meningkatkan kapasiti daripada 2 juta kepada 4 juta dos sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kumpulan ke-23 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

 

Dalam pada itu, kumpulan juga telah melaksanakan inisiatif untuk membekalkan vaksin berkenaan kepada kerajaan-kerajaan negeri serta sektor swasta bagi mencapai imuniti kelompok dan pemulihan ekonomi yang lebih pantas. 

 

Kata Zulkarnain lagi, tumpuan utama ketika ini adalah terhadap petugas barisan hadapan ekonomi dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), firma persendirian, pekerja asing dan ekspatriat di dalam negara.

 

Pharmaniaga turut menawarkan vaksin buat kerajaan negeri yang berhasrat untuk mempercepatkan program imunisasi COVID-19 masing-masing. 

 

“Kami akan memastikan penyediaan dan pengedaran bekalan vaksin Sinovac COVID-19 yang berkesan ke pasaran swasta dan kerajaan negeri, dan ini tidak akan mengganggu kewajipan kontrak kami sedia ada dengan Kerajaan Persekutuan.

 

“Pengembangan pasaran baharu ini juga menandakan penempatan semula yang kuat di mana akan mengukuhkan kedudukan kumpulan di pasaran swasta,” ujar beliau lanjut. - DagangNews.com