PHB tingkatkan 1 billion unit AHB bagi langganan Bumiputera | DagangNews Skip to main content

PHB tingkatkan 1 billion unit AHB bagi langganan Bumiputera

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB), syarikat induk kepada PHB telah melancarkan majlis pelancaran unit tambahan AHB. Turut bersama beliau adalah (dari kiri) Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) menambah 1 bilion unit Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk ditawarkan bagi langganan umum, memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera untuk mempunyai pemilikan benefisial ke atas pasaran hartanah di lokasi utama seluruh Malaysia.

 

Pengerusi PHB, Tan Sri Ahmad Nizam Salleh berkata sejak penubuhannya pada 2010 dengan unit permulaan sebanyak 1 bilion unit, saiz unit AHB telah ditingkatkan sebanyak empat kali sebelum ini.

 

Katanya, penambahan terbaharu ini merupakan yang kelima, menjadikan jumlah unit terkumpul AHB sebanyak 5 bilion unit.

 

“Dalam tempoh 17 tahun pengoperasian, PHB terus komited dalam usaha untuk mengenal pasti dan memperoleh hartanah komersial utama di bandar perdana seluruh Malaysia. Sehingga kini, PHB mempunyai aset bernilai kira-kira RM11 bilion,” katanya selepas majlis pelancaran unit tambahan AHB di sini, hari ini.

 

Ahmad Nizam berkata aspirasi syarikat pelaburan hartanah itu untuk mendokong agenda Bumiputera negara akan terus diangkat melalui penyediaan peluang pelaburan yang lebih efektif bagi memastikan pelabur mendapat pulangan lebih mampan dan kompetitif daripada inisiatif pengagihan kekayaan negara yang seimbang.

 

 

(Dari kiri) Mohamad Damshal Awang Damit, Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim dan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh
(Dari kiri) Mohamad Damshal Awang Damit, Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim dan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh

 

 

“PHB juga menyokong penuh saranan Kerajaan Perpaduan yang kini giat menggalakkan masyarakat terutamanya golongan muda untuk merancang dan mengendalikan kewangan mereka demi kelangsungan di hari tua,” tambahnya.

 

AHB merupakan unit amanah patuh Syariah berlandaskan hartanah yang pertama di Malaysia, disokong dengan hartanah-hartanah komersial utama yang disewakan dan menikmati aliran pendapatan sewaan secara tetap.

 

Membawa aspirasi nasional untuk memperkasa pegangan pelaburan Bumiputera, skim unit AHB memberi peluang kepada Bumiputera untuk menyertai pemilikan hartanah komersial utama menerusi pegangan unit.

 

Antara aset-aset yang dimiliki PHB termasuklah Menara Conlay, Kuala Lumpur; Menara Prisma Putrajaya; Wisma Consplant, Subang Jaya; Avisena Specialist Hospital, Shah Alam; Pusat beli-belah NU Sentral, Kuala Lumpur; Menara 1 Sentrum, Kuala Lumpur dan Hospital Gleneagles Blok B, Kuala Lumpur.   - DagangNews.com