Sejak memulakan operasi di Malaysia, Pickupp telah memenuhi kira-kira 4 kali ganda penghantaran pada hari yang sama setiap minggu di Lembah Klang.
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pickupp Malaysia, syarikat permulaan teknologi penghantaran yang mengolah semula industri logistik, kini melebarkan sayap menerusi hab serantau pertamanya di Pulau Pinang.
Syarikat ini akan menyokong wilayah utara menerusi pembukaan satu gudang dan merancang untuk memperluas jejak pergudangannya dalam beberapa tahun akan datang, bagi memenuhi keperluan penghantaran ‘mil terakhir’, seiring lonjakan dalam e-dagang dan logistik.
Pengumuman itu menyusuli pusingan pembiayaan Siri A dan Siri A+ syarikat induknya, Pickupp Limited, yang bernilai AS$15 juta, baru-baru ini.
Menerusi hab wilayah Utara ini, Pickupp akan terus bergandingan dengan rakan-rakan strategiknya, termasuk 3PL, bagi menaik taraf ekosistem penghantaran Malaysia yang menyaksikan lonjakan permintaan susulan pertumbuhan dan kematangan e-dagang di negara serta seluruh dunia.
Kini, Pickupp mempunyai jalinan kerjasama dengan pelbagai pelanggan, daripada syarikat logistik multinasional seperti DHL eCommerce dan Aramex, sehinggalah jenama e-dagang terkemuka seperti Lazada dan FashionValet di Pulau Pinang.
Pengurus Negara Pickupp Malaysia, Navin Kandapper berkata, logistik merupakan antara aspek paling mencabar dalam landskap e-dagang, khususnya untuk peniaga kecil.
Oleh itu, katanya, Pickupp akan membantu mereka meningkatkan daya saing dalam ekonomi atas permintaan, berbekalkan servis penghantaran yang fleksibel dan boleh diperibadikan, serta penjimatan keseluruhan kos konvensional sebanyak kira-kira 30%.
"Ini dimungkinkan dengan perisian proprietari dan teknologi pengelompokan (batching) kami yang meningkatkan aliran kerja operasi untuk pengoptimuman perjalanan dan pengurusan gudang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengembangan operasi Pickupp di Pulau Pinang dijangka menyediakan peluang pekerjaan bagi penduduk di negeri berkenaan, selain menawarkan perkhidmatan bersesuaian dengan keperluan pelanggan di wilayah ini dan sekitarnya.
Syarikat ini turut memberi sokongan kepada komuniti tempatan yang terpinggir menerusi Pelan Pengambilan Ejen Penghantaran, yang sehingga kini telah membantu 38,497 individu.
Sejak memulakan operasi di Malaysia, Pickupp telah memenuhi kira-kira 4 kali ganda penghantaran pada hari yang sama setiap minggu di Lembah Klang berbanding dengan era sebelum pandemik.
Bagi meningkatkan sokongan kepada PKS, Pickupp Malaysia telah melancarkan Program Rujukan dan Rebat PKS, yang meliputi perundingan logistik pro-bono bagi membantu merancang penghantaran, menaik taraf tawaran perniagaan, serta menyokong perancangan perniagaan.
Pickupp Malaysia berhasrat memperkenalkan perkhidmatan penghantaran makanan di Pulau Pinang bagi menyokong landskap F&B yang rancak, serta memperluas tawaran rentas sempadan untuk pelanggan dan rakan kerjasama menerusi hab serantau pertama itu, sebagai batu loncatan perkembangannya di rantau Asia Pasifik dan di luarnya.
Pangkalan pengguna Pickupp telah meningkat sebanyak 250% sejak tercetusnya wabak COVID-19 pada Mac 2020, dengan penyertaan lebih 100,000 ejen penghantaran di seluruh rantau.
Pickupp Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan pangkalan pengguna sebanyak 198%, sekaligus mewujudkan peluang pendapatan kepada 38,000 ejen penghantaran bebas. -DagangNews.com