Pine Labs - Citi Malaysia bekerjasama tawar fleksibiliti pembayaran  | DagangNews Skip to main content

Pine Labs - Citi Malaysia bekerjasama tawar fleksibiliti pembayaran 

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pine Payment Solutions Sdn. Bhd, anak syarikat Pine Labs, menjalin kerjasama dengan salah satu pengeluar kad kredit utama iaitu Citi Malaysia, yang membolehkan pemegang kad kreditnya menikmati sifar peratus faedah bayaran ansuran (juga dikenali sebagai Citi 0% Easy Pay Plan).

 

Pine Labs telah memperluaskan lagi penawaran kemudahan bayar kemudiannya di Malaysia. Syarikat itu telah membuktikan penggunaannya di India yang mana ia menguasai sebahagian besar daripada pasaran perkhidmatan pembayaran ansuran.
 

Ketua Kad dan Pinjaman Tidak Bercagar Citi Malaysia, Alicia Lau berkata, dalam kerjasama dengan Pine Labs, pihaknya menyasarkan untuk menawarkan Citi 0% Easy Pay Plan (EPP) kepada lebih daripada 1,000 kedai runcit di seluruh negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang. 

 

Katanya, ciri ini memberikan pilihan untuk pemegang kad kredit membahagikan pembelian besar kepada ansuran bulanan yang lebih mampu milik pada kadar faedah sifar peratus. 

 

"Pemegang kad kredit Citi juga boleh mendapat pelbagai manfaat seperti Mata Ganjaran, PremierMiles atau Pulangan Tunai dengan menggunakan ciri ini. 

 

"Kerjasama ini mencerminkan strategi pertumbuhan kami dan menegaskan komitmen kami untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang lebih baik demi memenuhi keperluan pelanggan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Perniagaan Pembayaran Asia Pasifik Pine Lans, Chayan Hazra berkata, platform perdagangan saudagar yang mengutamakan teknologi ini dapat memberikan kelebihan kepadanya untuk bersaing.

 

"Kami yakin bahawa apa yang menjadikan kami unik ialah ketersediaan pelbagai pengeluar kad kredit di dalam satu platform bagi membantu menawarkan pilihan pembayaran yang lebih luas kepada para pelanggan di Malaysia dan membolehkan para saudagar meningkatkan jualan dan berniaga dengan lebih kerap menggunakan platform ini.

 

"Dengan jumlah pelanggan kad kredit Citi yang ramai dan tidak lama lagi akan menikmati pilihan Bayar Kemudian yang dikuasakan oleh Pine Labs, kami turut teruja untuk menyaksikan potensi pertumbuhan perniagaan bersama-sama dengan para saudagar,” katanya. - DagangNews.com