PN17: Sakit ya, nazak belum bagi syarikat terkena `virus’ | DagangNews Skip to main content

PN17: Sakit ya, nazak belum bagi syarikat terkena `virus’

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

DUA minggu pertama Januari 2022, dua syarikat iaitu Serba Dinamik Holdings Berhad dan AirAsia Group Berhad terperosok ke dalam klasifikasi syarikat bermasalah Nota Amalan 17 (PN17) dalam Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Malaysia Securities.

 

Bagi yang mengikuti sektor korporat, kedua-dua syarikat ini menghadapi masalah tersendiri.

 

Serba Dinamik berdepan isu dengan audit penyata kewangan manakala AirAsia, seperti syarikat penerbangan global lain terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

 

Kedua-duanya merayu untuk melanjutkan tempoh pelepasan daripada Bursa Malaysia tetapi ditolak.

 

Tidak timbul persoalan bursa sebagai badan regulatori tidak kasihan tetapi lebih kepada keperluan menjaga kepentingan para pemegang saham dan pelabur, sejajar dengan standard global.

 

Ini menjadikan bilangan syarikat di bawah PN17 dan Nota Panduan No.3 (GN3) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE setakat 14 Januari 2022, kini meningkat kepada 25 buah yang mewakili 2.76% jumlah keseluruhan 905 syarikat tersenarai di Papan Utama dan ACE.

 

Membimbangkan?

Seperti dinyatakan bursa, 25 buah syarikat itu hanya mewakili 2.76% daripada 905 syarikat tersenarai, dan dari kiraan kasar sekalipun, angka itu adalah kecil.

 

Namun, menurut beberapa penganalisis industri, senarai itu mungkin bertambah dalam masa terdekat ini berikutan beberapa syarikat diketahui turut menghadapi masalah kewangan, terutamanya impak daripada pandemik.

 

Melainkan syarikat berkenaan memperoleh pembiayaan (yang sangat sukar) atau bantuan tertentu (bail-out kerajaan, misalnya), maka bolehlah mereka meloloskan diri daripada klasifikasi PN17.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AirAsia Group kini diklasifikasi PN17 oleh Bursa Malaysia

 

Apa itu klasifikasi PN17?

Ada yang malas hendak membuat kajian, terus mengucapkan salam takziah kepada syarikat yang terkena PN17. Tidak berapa tepat.

 

Ibarat permainan bola sepak, PN17 adalah kad kuning. Bukan kad merah. Masih ada peluang bermain, masih ada peluang menjaringkan gol (tetapi kena semak menerusi VAR sebab asyik dipertikai...)

 

Mengikut peraturan, sesebuah syarikat di bawah PN17 perlu mengemukakan pelan penyusunan semula syarikat kepada Suruhanjaya Sekuriti dalam tempoh 8 bulan dan melaksanakan pelan tersebut di dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

 

Malah bagi memastikan pelan penyusunan semula itu benar-benar bagus, berhasil dan berkualiti, pindaan ke atas PN17 dan PN16 mewajibkan semua pelan penyusunan semula diletakkan di bawah Seksyen 31 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 iaitu hendaklah diluluskan oleh SC untuk dilaksanakan.


 

SC

 


Faktor diklasifikasi PN17

  1. Dana pemegang saham syarikat kurang 25% daripada jumlah keseluruhan modal berbayar
  2. Penanggung (receivers) iaitu pegawai atau organisasi telah dilantik bagi menguruskan pembubaran sesebuah syarikat dan mengawal aset-aset
  3. Pembubaran beberapa syarikat subsidiari dan bersekutunya
  4. Juruaudit menzahirkan pendapat buruk terhadap penyata kewangan syarikat
  5. Gagal menjelaskan kadar faedah pinjaman dan pembayaran balik prinsipal
  6. Syarikat telah menggantung atau menamatkan operasi mereka
  7. Syarikat tidak lagi memiliki sebarang perniagaan atau operasi utama.

 

Apa anda sebagai pelabur boleh buat?

Petanda-petanda syarikat PN17 ini dapat dilihat awal. Harga saham menyusut, tidak kira laju atau perlahan tapi trend menurun. Di sini pada detik dan tika ini, pelabur seharusnya sudah bersiap sedia.

 

Situasi yang berlaku ialah ada pelabur memegang saham ketika harganya di paras premium. Misalnya RM1.50 seunit. Ketika menjunam dan akhirnya kena PN17, harga saham di paras 20 sen.

 

Kalau lambat menjual semasa trend menurun, bermakna pelabur kerugian RM1.30 seunit. Bagi anda yang tahu teknik pelaburan, ketika saham itu mencecah RM1.00 sudah dilupuskan pegangan.

 

Pada tahap ini, biasanya pelabur berdepan dilema sama ada menanggung sahaja kerugian (cut the losses) daripada menanggung lebih lagi atau berharap dan berdoa agar saham itu melantun semula.

 

Permainan di atas amat berbahaya kerana lazimnya diguna pakai untuk pelabur berjangka pendek. Baca latar belakang syarikat sepintas lalu sahaja. Tidak kisah soal fundamental.

 

Taktik berisiko sangat tinggi ini dinamakan al-tamak haloba. Mereka melabur berpandukan desas-desus, spekulatif dan kadang-kadang nasib baik, ada maklumat dalaman.


 

greed

 


Menurut Ooi Kok Hwa dalam tulisannya yang banyak dipetik oleh penganalisis bertarikh 14 Julai 2020 bertajuk What is a PN17? Do you sell or buy its shares?, punca syarikat menjadi PN17 lazimnya kerana diurus lemah atau tidak memiliki rekod prestasi yang bagus.

 

Berdasarkan pemerhatian Ooi, ada kalangan pelabur tidak sedar pun saham syarikat yang mereka masih pegang itu sudah diklasifikasi di bawah PN17 dan ada kes, pelabur tidak tahu pun syarikat sudah dinyahsenarai.

 

‘’Alasan utamanya ialah mereka jarang memantau prestasi kewangan syarikat di mana mereka memiliki saham di dalamnya,’’ ujar beliau.

 

Apa jadi pada Serba Dinamik dan AirAsia?

Berdasarkan pernyataan di atas, otak kita mula memikirkan di mana kedua-dua syarikat ini berada.

 

Serba Dinamik bukannya ada isu rekod prestasi. Tidak semena-mena pada Jun 2021, firma auditnya KPMG yang telah bertahun-tahun menjadi juruaudit luaran syarikat melaporkan ketidakseimbangan dalam penyata tahunan.

 

Pada masa yang sama, kumpulan penyedia perkhidmatan minyak dan gas global ini terus menjalankan perniagaannya dan meraih beberapa kontrak baharu di dalam dan luar negara.

 

Namun setelah berlarutan ke akhir tahun, Serba Dinamik dan pengurusannya telah didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti. Ini tidak bermakna mereka sudah bersalah. Kita sama-sama tunggu perbicaraan hujung bulan ini.


 

serbadinamik

 


Begitu juga dalam konteks AirAsia. Secara umumnya semua bersetuju kemelut syarikat milik Tan Sri Tony Fernandez ini jadi sukar berikutan sempadan negara dan dunia ditutup akibat penularan pandemik COVID-19.

 

Berita terbaharu dari Sarawak misalnya, bersetuju menambah bilangan penerbangan keluar masuk seiring dengan peralihan negeri itu ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Ini amat positif baik kepada AirAsia dan juga penumpang yang sebelum ini terpaksa membayar harga tiket KL-Kuching menyamai harga ke London.

 

Secara ringkasnya, kedua-dua syarikat ini ada 8 bulan untuk menyediakan pelan pemulihan. Pelabur jangan terlalu risau. Kakitangan kedua-dua syarikat juga jangan cepat sangat hendak lompat kapal. Bersabar dan pantau perkembangan selalu.


 

merrepak

 


Sakit ya, nazak belum

Segalanya belum berakhir. Sakit ya, nazak belum. Kerana dalam keadaan paling buruk sekali pun, syarikat tidak akan gulung tikar.

 

Peluang masih ada untuk sekadar dinyahsenaraikan dan kemudian diatur balik segala kelemahan. Setelah selesai semua pembaikan, proses kembali disenaraikan boleh dibuat.

 

Kedua-dua entiti ini terlalu penting kepada Malaysia untuk dibiarkan melingkup. Kedua-duanya memiliki pelaburan di seluruh negara dan di luar negara. Impak terhadap negara akan dirasai terus kepada ekonomi dan sosial.

 

Kalau diizinkan, anggaplah proses yang berlaku sekarang ibarat vaksinasi. Memang selepas suntik, badan sengal-sengal. Ada yang demam. Tetapi Insya-Allah akan bangkit semula lebih baik daripada serangan virus. Kecuali jika sudah takdirnya pergi jua.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Tari Tualang Tiga oleh Dayang Nurfaizah berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.