PNB tumpu pelaburan berdaya tahan jana pulangan lebih baik | DagangNews Skip to main content

PNB tumpu pelaburan berdaya tahan jana pulangan lebih baik

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz (kiri) dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn ketika membentangkan Laporan Tahunan PNB 2020 secara maya hari ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April - Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan terus memberi tumpuan bagi mempelbagaikan portfolio pelaburan supaya dapat menangani apa jua cabaran pada masa akan datang. 

 

Langkah ini digariskan PNB menerusi usaha kepelbagaian sejak 2018 yang telah dipertingkatkan lagi di bawah Focus 4.

 

Susulan itu, PNB telah meningkatkan jumlah aset antarabangsa kepada 12% pada 2020 berbanding 8.5% tahun sebelumnya. 

 

Ini menyaksikan 8.7% terdiri jumlah aset antarabangsa terdiri daripada pelaburan ekuiti awam yang meningkat daripada 5.9% pada 2019. 

 

Ini secara tidak langsung menghasilkan sumbangan yang lebih besar iaitu 25.5% kepada pendapatan kasar berbanding 11.6% pada tahun kewangan 2019.

 

Dari segi komposisi pendapatan kumpulan, sumbangan ekuiti global meningkat 18 kali ganda daripada RM200 juta pada 2017 kepada RM3.7 bilion pada 2020.

 

 

Sumber : Laporan Tahunan PNB 2020
Sumber : Laporan Tahunan PNB 2020

 

 

Dalam negara pula, PNB juga mengimbangi portfolionya dengan menjana wang daripada aset yang telah matang. 

 

Pada 2020, turut menyaksikan pelupusan Menara MIDF di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur bagi mengurangkan pendedahan kepada segmen pejabat komersial. 

 

Ini juga melibatkan keseluruhan pegangan minoriti 23% dalam Unilever Malaysia Holdings. Langkah ini membolehkan PNB untuk mengitar semula modal ke dalam pelaburan baharu.

 

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, PNB menyasarkan untuk mengembangkan segmen pelaburan baharu dalam jangka masa panjang. 

 

Jelas beliau, sektor yang berpotensi merangkumi tenaga boleh diperbaharui dan teknologi 5G, logistik dan pusat data.  

 

"Di samping terus melakukan pembelian primer, pelaburan sekunder dan berkemungkinan juga sektor domestic Consumer Dicretionary di bawah portfolio ekuiti persendirian menjadi tumpuan PNB," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam pembentangan Laporan Tahunan PNB 2020 secara maya hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz. 

 

Fokus 4 memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu kepelbagaian, penciptaan nilai, pengurusan risiko dan transformasi organisasi. 

 

Pelupusan keseluruhan 56.3% saham dalam Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) pada premium 69% berdasarkan harga 3 bulan Purata Wajaran Jumlah Dagangan juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengimbangi semula portfolio PNB. 

 

Keuntungan sebanyak RM292.8 juta yang diterima oleh PNB setelah selesai urusan penjualan pada Disember 2020 memberikannya modal untuk melabur semula dalam peluang-peluang baharu.

 

Zulqarnain berkata, dengan lebih daripada 60% portfolio dilaburkan dalam syarikat-syarikat Malaysia, PNB menyasarkan untuk terus menilai prestasi syarikat-syarikat tersebut dan melalui proses tadbir urus lembaga pengarah bagi menggalakkan peningkatan prestasi dan dengan itu mencapai pulangan pemegang saham yang lebih tinggi.

 

Bagi tahun ini, katanya, PNB akan tetap fokus pada kepelbagaian dan penciptaan nilai serta mempercepatkan lagi perancangan transformasi digital. 

 

"Dengan inisiatif transformasi organisasi yang dilaksanakan sepanjang tahun, PNB kini lebih tangkas dan bersedia untuk merealisasikan potensi yang lebih besar dalam era pasca-COVID-19. 

 

"Kami akan terus melaksanakan strategi-strategi Focus 4 bagi mengembangkan portfolio agar dapat menjana pulangan lebih baik," katanya. - DagangNews.com