PNS : Pelan Pemulihan Negara bantu usahawan bangkit semula | DagangNews Skip to main content

PNS : Pelan Pemulihan Negara bantu usahawan bangkit semula

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Nasional Berhad, Mohd Hilaluddin Abd Shukor

 

 


KUALA LUMPUR 16 Jun - Perbadanan Nasional Berhad (PNS) hari ini  menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Mengulas mengenai Pelan Pemulihan Negara ini, Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd Hilaluddin Abd Shukor berkata, pelan ini ternyata menyediakan strategi peralihan keluar yang jelas kepada usahawan-usahawan termasuk usahawan francais untuk merancang aktiviti perniagaan mereka. 

 

Katanya, ia bukan sahaja membantu usahawan untuk memulakan semula perniagaan mereka dengan lebih teratur dan secara berperingkat  malah usahawan juga dapat menyusun semula keperluan tenaga kerja industri dengan mengurangkan kebarangkalian risiko yang tinggi. 

 

"Pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik dan saya yakin apabila pelbagai pihak memberi kerjasama di dalam mematuhi saranan yang dikeluarkan berdasarkan kepada fasa yang ditetapkan, mudah-mudahan rantaian jangkitan COVID-19 akan dapat dibendung, dan Malaysia akan dapat mengatasi krisis COVID-19 seterusnya dapat memulihkan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam usaha membantu usahawan-usahawan terutamanya dari kalangan pelanggannya yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini,  PNS menyediakan pelbagai program dan skim pembiayaan. 

 

Antaranya ialah program RECURVE yang menawarkan dana tambahan kepada usahawan bagi memulihkan perniagaan mereka.  

 

Sebanyak RM20 juta diperuntukan bagi tujuan ini yang memberi manfaat kepada lebih 350 orang usahawan francais PNS sedia ada.

 

Menurut Mohd Hilaluddin Abd Shukor lagi, kini PNS sedang giat membangunkan usahawan kecil dan sederhana (PKS) melalui program 'Be Your Own Boss’.  

 

"Program ini yang dikhususkan untuk golongan wanita dan belia mensasarkan melahirkan 700 usahawan francais baru  pada hujung tahun ini, yang mana ia bertepatan dengan jangkaan tempoh pemulihan ekonomi. 

 

"Apabila pandemik COVID-19 ini berakhir dan sektor ekonomi telah dibuka sepenuhnya, usahawan-usahawan ini telah bersedia  dalam operasi perniagaan mereka sekaligus akan menyemarakan ekonomi negara.

 

“Saya berpendapat bahawa Pelan Pemulihan Negara ini adalah strategi yang bertepatan untuk memastikan ekonomi negara dapat kembali pulih sepenuhnya dalam menangani pandemik COVID-19. 

 

"Sebagai salah sebuah agensi kerajaan, PNS akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya," jelasnya. - DagangNews.com