Pos Logistics, MAIA tubuh perkhidmatan logistik pihak kelima kepada industri aeroangkasa | DagangNews Skip to main content

Pos Logistics, MAIA tubuh perkhidmatan logistik pihak kelima kepada industri aeroangkasa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Pos Logistics Bhd, anak syarikat milik penuh Pos Malaysia Bhd memeterai perjanjian kerjasama dengan Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) untuk menubuhkan spektrum penuh perkhidmatan logistik pihak kelima (5PL) kepada industri aeroangkasa.

 

Pos Logistics dalam kenyataan memaklumkan, ia merangkumi kemudahan gudang dan penyimpanan, pengurusan inventori dan sistem pengesanan, penyatuan pembekal dan pengurusan pesanan, pengangkutan, analisis data masa sebenar dan laporan, perkongsian kemahiran, sumber dan teknologi, serta kerjasama untuk penambahbaikan yang berterusan.

 

Katanya, kerjasama itu menandakan satu kejayaan bagi Pos Logistics dalam aspirasi mereka untuk menjadi pemain utama dalam industri logistik aeroangkasa di Malaysia. 

 

"Pos Logistics sedang giat menjadi sebahagian daripada Pelan Tindakan Aero-Angkasa Malaysia 2030 dan inisiatif logistik di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

 

"Hasrat ini dipacu oleh kemampuannya di dalam menawarkan penyelesaian logistik inovatif kepada industri aeroangkasa, dan kesediaannya untuk  terus menjalinkan kerjasama dengan pemain-pemain lain di dalam industri ini," katanya.

 

Terdahulu, perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pos Logistics, Shahrulnizam Ahmad, manakala MAIA diwakili Presidennya, Naguib Mohd Nor sambil disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23), baru-baru ini.

 

 

pos

 

 

Secara keseluruhan, Pos Logistics yakin penyertaan mereka dalam LIMA akan terus memperkukuhkan kedudukan pasaran dan menerajui peluang perniagaan yang baharu. - DagangNews.com