Potongan OPR buka peluang Affin lonjak keuntungan FY21 | DagangNews Skip to main content

Potongan OPR buka peluang Affin lonjak keuntungan FY21

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Walaupun Affin Bank Berhad (Affin) mencatatkan kerugian pengubahsuaian (modification loss) pinjaman sehingga RM79.7 juta, namun institusi kewangan itu akan menjadi satu-satunya bank di Malaysia yang menerima manfaat sekiranya kadar dasar semalaman (OPR) dipotong sekali lagi. 

Ini adalah berikutan syarikat itu mempunyai deposit tetap yang lebih tinggi dijangka mencecah RM50.5 bilion pada tahun kewangan 2021 (FY21) berbanding kadar pinjaman terapung yang rendah dijangka mencecah RM30.5 bilion bagi tempoh sama. 

CGS-CIMB Research berkata, pemotongan OPR akan mengurangkan kadar faedah dengan nilai sama bagi kadar pinjaman terapung dan deposit tetap.

“Oleh itu, institusi perbankan yang mempunyai kadar deposit tetap tinggi dan pinjaman terapung rendah akan menerima impak positif dari segi margin sekiranya OPR dipotong.

“Berdasarkan ramalan kami, Affin mempunyai jurang positif antara kadar deposit tetap dan kadar pinjaman terapung sebanyak RM20 bilion menjelang tahun kewangan 2021. 

“Ini merupakan jurang yang terbesar antara bank-bank di Malaysia dan melebihi jurang RM5.6 bilion oleh Ambank Group Berhad (AMMB), iaitu bank kedua yang mempunyai jurang kadar faedah besar,” jelas analisis CGS-CIMB. 

Berdasarkan situasi itu, CGS-CIMB menaikkan harga sasaran saham Affin kepada RM1.36.

Sebelum ini, CGS-CIMB menjangkakan OPR akan dipotong sekali lagi pada bulan hadapan bagi mengurangkan impak ekonomi susulan penularan COVID-19.

Baca : BNM dijangka potong OPR 50 bps bulan depan

Bagaimanapun, susulan prestasi kewangan Affin yang merosot pada separuh tahun pertama 2020, CGS-CIMB menjangkakan keuntungan bersih Affin turut lemah pada separuh tahun kedua 2020.

Ramalan itu didorong oleh pendapatan pelaburan yang tinggi pada separuh tahun pertama 2020 (RM394.9 juta) mungkin merosot dan pendapatan faedah bersih pula dijangka merudum kerana penguncupan sektor pemberian pinjaman. 

“Kerugian pengubahsuaian pinjaman yang lebih tinggi daripada jangkaan (RM70 juta) menyebabkan keuntungan bersih suku kedua 2020 Affin menyusut 56.8% berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

“Tidak termasuk kerugian pengubahsuaian pinjaman, keuntungan bersih suku kedua Affin akan turun sebanyak 18% berbanding suku kedua 2019,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com