PPj berkolaborasi dengan Vectolabs bina prasarana pintar Putrajaya | DagangNews Skip to main content

PPj berkolaborasi dengan Vectolabs bina prasarana pintar Putrajaya

Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain (kiri) bertukar memorandum perjajian dengan Faizal Ali bagi penyediaan infrastruktur LoRa di Presint 15 Putrajaya dengan penggunaan pertama lampu jalan pintar.
 

PUTRAJAYA  6 Mei - Perbadanan Putrajaya (PPj) memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat Internet of Things (IoT) Vectolabs Technologies Sdn Bhd (Vectolabs) yang berpusat di Cyberjaya bagi menubuhkan infrastruktur IoT pertama di Malaysia yang akan dikendalikan oleh sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Infrastruktur tersebut menggunakan teknologi LoRa dan akan meningkatkan inisiatif di bawah Putrajaya Smart City Blueprint.

 

Projek ini dibiayai oleh National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) dan akan dilaksanakan dengan kerjasama PPj, Vectolabs dan, Pusat Penyelidikan Rangkaian Wayarles dan Fotonik (WiPNET) Universiti Putra Malaysia di dalam kategori Single Site Innovation Sandbox.

 

Perjanjian yang ditandatangani adalah untuk merasmikan kerjasama penyediaan infrastruktur LoRa yang akan dikendalikan oleh PBT di Presint 15 Putrajaya dengan penggunaan pertama lampu jalan pintar.

 

LoRa adalah teknologi ‘Low Power Wide Area Network’ (LPWAN) yang menggunakan teknik modulasi tanpa wayar untuk mencapai jarak komunikasi yang jauh dengan penggunaan tenaga yang rendah, menjadikan ia sesuai bagi penghantaran pengimbas data dari peranti IoT. Sebuah ‘gateway’ mampu mencapai jarak radius 2-5km di dalam bandar.

 

Projek Sandbox ini merangkumi penghasilan kerangka operasi infrastruktur LoRa yang dikendalikan oleh PBT untuk bandar dan komuniti pintar yang akan diterbitkan pada akhir tahun ini.

 

Kerangka ini bertujuan untuk menyokong peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan memberikan panduan operasi praktikal mengenai perancangan, implementasi, pengurusan dan penilaian rangkaian dari segi interaksi rangkaian, pematuhan pengawalseliaan serta pengurusan dan pemantauan rangkaian LoRa.

 

Kerangka ini dihasilkan oleh gabungan pengasas dari rantaian nilai teknologi LoRa yang terdiri daripada PPj, WiPNET, Kerlink (Asia Pasifik), Murata Manufacturing, Cre8IOT, Vectolabs, Favoriot, Myinvent Technologies dan MSD Innovation.

 

PPj melalui Putrajaya Smart City Blueprint kini sedang menuju ke arah pembentukan bandar yang terhubung dengan infrastruktur IoT. Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, pihaknya masih berada di peringkat awal pembangunan IoT.

 

Apabila teknologi dan penggunaan IoT ini semakin maju, maka penggunaannya juga akan lebih kreatif serta potensi teknologi ini dapat difahamkan dengan lebih mendalam. Kesan penggunaan IoT sering menjadi topik perbualan dimana ia merupakan sebahagian daripada Revolusi Industri keempat.

 

"Kami amat menghargai inisiatif kerajaan dalam mewujudkan National Technology and Innovation Sandbox ini. Selain dapat memberi penyelesaian inovatif dalam pengurusan bandar dengan lebih efektif, ia juga dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan serta syarikat baru untuk menyumbang kepada pembangunan bandar,” ujarnya.

 

Kebanyakan pelaksanaan bandar pintar hari ini mempunyai fokus tunggal untuk menyelesaikan hanya satu masalah operasi pada suatu masa.

 

Tanpa matlamat akhir bandar pintar bersepadu untuk mengurus dan memantau pelbagai perkhidmatan sebuah bandaraya seperti, lampu jalan, tempat letak kereta, kualiti air, dan lain-lain, pelaksanaan seperti ini hanya akan menghasilkan rangkaian, platform perisian dan data yang tidak saling kendali (non-interoperable), bersepadu atau berdaya maju.

 

Terdapat banyak aktiviti perintis yang telah dilaksanakan namun disebabkan masalah ini, pelaksanaan bandar pintar tidak dapat dilakukan pada skala besar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Vectolabs, Faizal Ali berkata, ketiadaan rangkaian IoT yang dikendalikan oleh PBT adalah penghalang utama untuk membina bandar pintar kerana setiap projek perintis memerlukan infrastruktur rangkaiannya sendiri tanpa “interoperability” yang meningkatkan kos.

 

Beliau berharap Putrajaya akan menjadi model untuk dicontohi oleh bandar-bandar lain. Ini termasuk pemilikan penuh kawalan infrastruktur, peranti, serta data oleh sesebuah PBT.

 

Projek Sandbox ini dilaksanakan menggunakan model Bina-Kendali-Pindah (B.O.T). PPj akan memiliki dan mengendalikan rangkaian LoRa bagi Putrajaya setelah ia siap.

 

scania
Satu simpang lampu isyarat di kawasan komersial Presint 15, Putrajaya. - Gambar hiasan

 

Projek ini telah dimulakan sebaik sahaja menerima dana NTIS pada bulan Februari 2021 dan telah menyempurnakan pemetaan rangkaian LoRa serta rekod inventori aset pada April 2021. Fasa terakhir, iaitu fasa “Pindah” kepada PPj, dijangka akan dilaksanakan pada bulan Ogos 2021.

 

Bandar pintar mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan, seperti mengurangkan masa kerosakan lampu jalan dengan pengesanan kegagalan automatik, mengurangkan kesesakan dengan mengarah trafik ke tempat letak kenderaan yang terdekat, atau menyampaikan maklumat kualiti air dan udara kepada warga komuniti.

 

Kos operasi juga dapat dikurangkan dengan adanya operasi yang efisien dan dapat dilaksanakan dengan perbelanjaan yang lebih rendah.

 

Sistem lampu jalan pintar yang dihasilkan oleh Vectolabs adalah sistem lampu jalan pintar yang pertama akan dipasang di Putrajaya. Sistem ini membolehkan pengurusan semua jenis aset lampu jalan termasuk feeder pillar dan semua jenis lampu jalan seperti lampu LED smart-ready, LED biasa serta lampu konvensional High-Pressure Sodium (HPS).

 

Selain itu, sistem ini dapat membantu PPj dalam pembaikan lampu jalan rosak secara proaktif dengan notifikasi automatik dengan maklumat penting seperti komponen bermasalah, lokasi lampu jalan yang tepat, feeder pillar, litar, serta fasa bagi setiap lampu jalan.

 

PPj juga mampu mengesan arahan kerja bagi pembaikan lampu jalan yang rosak untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti Putrajaya. 

 

Rangkaian LoRa di Putrajaya akan mengurangkan kos pemilikan solusi IoT untuk PPj kerana ia sudah mempunyai infrastruktur tersebut. PPj akan mampu melaksanakan aplikasi IoT atau perkhidmatan bandar pintar baru dengan lebih cepat dan mudah.

 

PPj berusaha untuk memacu inovasi tempatan dan menarik solusi bandar pintar baru ke Putrajaya yang akan menjadi contoh bandar pintar dimana ia juga akan menjadi sebuah platform inovasi dan pembangunan ekonomi Malaysia. - DagangNews.com