Premier League, Kerajaan Malaysia bekerjasama tingkatkan penguatkuasaan banteras penstriman 'haram' perlawanan EPL  | DagangNews Skip to main content

Premier League, Kerajaan Malaysia bekerjasama tingkatkan penguatkuasaan banteras penstriman 'haram' perlawanan EPL 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Liga Perdana Inggeris (Premier League) menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa di seluruh Asia, termasuk Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap pengendali laman web tidak rasmi dan pembekal peranti penstriman 'haram'. 

 

Selain menghalang siaran haram perlawanan bola sepak Liga Perdana dan kandungan cetak rompak lain, mereka juga menghadkan akses kepada operasi perjudian tanpa lesen tidak terkawal yang mungkin membawa risiko tinggi kepada pengguna.

 

Usaha kerjasama antara Liga Perdana dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) juga berjaya menyekat hampir 300 domain laman web yang paling popular dengan siaran haram Liga Perdana. 

 

Peguam Besar Liga Perdana, Kevin Plumb berkata, pihaknya akan terus mengingatkan peminat bola sepak tentang risiko menonton perlawanan melalui laman-laman web tidak rasmi supaya boleh mencegah segala kesulitan.

 

"Mereka yang menggunakan laman web tidak rasmi tidak akan dapat pengalaman tontonan terbaik, dan mereka juga bakal menghadapi pelbagai risiko serangan siber. 

 

"Dengan mengakses kandungan cetak rompak, mereka mendedahkan diri mereka kepada penjenayah siber yang menggunakan pelbagai cara untuk menggodam peranti penonton. Ini boleh membawa kepada pelbagai isu termasuk penipuan dan kecurian identiti," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Plumb, pihaknya menasihatkan peminat bola sepak Malaysia untuk berjaga-jaga dengan laman web tidak rasmi dalam talian, melindungi keselamatan data mereka dan menonton bola sepak Liga Perdana dengan selamat dalam kualiti terbaik melalui rakan siaran rasmi.

 

Terdahulu, para pemain Liga Perdana dari kelab-kelab termasuk Manchester United dan Liverpool mengetuai kempen ‘Anti Cetak Rompak' terkini bagi Liga Perdana untuk meningkatkan kesedaran para peminat Malaysia tentang risiko dan kesan negatif akibat penstriman di laman web tidak rasmi.

 

Kempen yang memasuki musim keempat di Malaysia itu menampilkan bintang-bintang bola sepak termasuk Casemiro (Manchester United), Diogo Jota (Liverpool), Julio Enciso (Brighton & Hove Albion), Abdoulaye Doucouré (Everton) dan Taiwo Awoniyi (Nottingham Forest).

 

Sementara itu, Liga Perdana juga bekerjasama dengan rakan siaran tempatan, Astro dalam kempen Anti Cetak Rompak di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, sebagai rakan siaran rasmi Liga Perdana di Malaysia, Astro adalah satu-satunya saluran yang mana pelanggan boleh menyaksikan perlawanan-perlawanan Liga Perdana secara langsung dan dalam 4K UHD premium. 

 

"Untuk melindungi hak peminat sukan berbayar kami, Astro aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa dan Liga Perdana untuk menyampaikan pesanan segala siaran cetak rompak adalah satu kecurian , tidak sah dan boleh dihukum berdasarkan undang-undang. 

 

"Kami memandang serius terhadap perkara ini serta mengambil berat akan kesannya terhadap pengguna dan juga industri. Justeru, kami akan terus menyeru semua pihak untuk menentang segala aktiviti cetak rompak," katanya.

 

Kempen itu akan dipaparkan menerusi saluran-saluran penyiaran, media sosial, laman web dan YouTube di Malaysia, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Thailand dan Vietnam. - DagangNews.com