Premier Sarawak sangkal laporan kaitkan anaknya mahu ambil alih MYAirline | DagangNews Skip to main content

Premier Sarawak sangkal laporan kaitkan anaknya mahu ambil alih MYAirline

KUALA LUMPUR 12 Okt - Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menafikan laporan media baru-baru ini yang mengatakan anaknya Abang Abdillah Izzarim akan menjadi pelabur baharu MYAirline Sdn Bhd, syarikat penerbangan yang telah menggantung operasinya mulai hari ini kerana masalah kewangan. 

 

Abang Johari berkata laporan oleh media itu mungkin disebabkan kehadiran Abang Abdillah dalam acara dialog syarikat itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

"Tidak. Apa yang berlaku ialah anak saya pergi ke sana bersama rakannya, dan dia menghadiri sesi townhall ketika itu. Jadi mereka (media) membuat spekulasi [selepas] melihat dia di sana.

 

"Anak saya sekarang serba-salah. Semua [gerakannya] sedang diteliti oleh rakyat. Saya rasa ini tidak adil," katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MYAirline gantung operasi mulai 12 Oktober 2023 sehingga penstrukturan permodalan semula syarikat

 

Abang Johari turut menolak laporan mengenai kemungkinan MYAirline menjadi syarikat penerbangan milik Sarawak, sambil menegaskan kerajaan negeri masih memberi tumpuan kepada rundingan untuk memperoleh MASwings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group Bhd.

 

"Kami memberi tumpuan kepada [pemerolehan] MASwings. Hal itu sedang dalam rundingan sekarang, dan ia hanya mengenai butirannya. Itu sahaja," tambahnya. - DagangNews.com