Prestasi Bursa Malaysia dijangka lebih baik pada 2HFY23 dipacu kerancakan aktiviti dagangan saham – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Prestasi Bursa Malaysia dijangka lebih baik pada 2HFY23 dipacu kerancakan aktiviti dagangan saham – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kenanga Research menjangkakan prestasi Bursa Malaysia Berhad lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) didorong kerancakan aktiviti dagangan saham.

 

Firma penyelidikan itu berkata faktor makro yang bertambah baik dengan kelemahan harga mungkin memberi indikasi bahawa terdapat ganjaran risiko yang lebih menguntungkan kepada pelabur.

 

“Duti setem yang lebih murah dan kemungkinan perdagangan saham pecahan juga boleh meluaskan penyertaan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini susulan keputusan separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) kumpulan itu semalam.

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY23/FY24. Bagi tempoh 2HFY23, Kenanga Research berkata ia berharap purata dagangan harian (ADV) mencapai RM2.2 bilion, yang diterjemahkan kepada ADV setahun penuh sebanyak RM2.08 bilion.

 

Firma itu turut mengekalkan saranan ‘market perform’ dan harga sasaran (TP) pada RM6.25 sesaham disebabkan faktor positif kelihatan diambil kira secara berpatutan.

 

Mengulas lanjut prospek Bursa Malaysia pada 2HFY23, Kenanga Research berkata ia menjangkakan sentimen pasaran serta aktiviti perdagangan meningkat dengan progresif, didorong oleh peningkatan beransur-ansur faktor makro (termasuk penstabilan kadar faedah dengan jangkaan kadar dasar semalaman [OPR] 3%).

 

“Antara yang membantu penyertaan pasaran mungkin pengurangan caj duti setem dagangan sekuriti kepada 0.1% daripada 0.15% pada had maksimum RM1,000 setiap kontrak.

 

“Cadangan pecahan saham juga mungkin menjana minat yang lebih tinggi dalam pasaran. Atas galakan tersebut, kami jangka ADV Julai 2023 yang mencapai kira-kira RM1.92 bilion,” tambahnya.

 

Mengulas mengenai prestasi kumpulan pada 1HFY23, Kenanga Research berkata pendapatan bersih sebanyak RM104.8 juta adalah dalam jangkaan, dengan merangkumi anggaran setahun penuh firma pada 47% dan konsensus sebanyak 46%.

 

Pada waktu penulisan, saham Bursa Malaysia telah menokok 14 sen atau 2.1% kepada RM6.85, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM5.5 bilion. - DagangNews.com