Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Mac - Penganalisis optimis prestasi eksport Malaysia akan bertambah baik tahun ini setelah mencatat pertumbuhan tertinggi sejak Oktober 2018 dengan berkembang 17.6% pada Februari 2021.
Ini mendorong UOB Malaysia menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport kepada 15% berbanding 4% sebelum ini berikutan petunjuk pemulihan ekonomi global yang lebih kukuh.
Ekonomi China yang berkembang semula dan keyakinan terhadap prospek ekonomi Amerika Syarikat (AS) serta pemulihan di rantau Asia akan memacu permintaan global tahun ini, jelasnya.
"Selain itu, teknologi dan transformasi digital yang pantas sepatutnya merangsang permintaan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia serta produk berasaskan getah.
"Dalam erti kata lain, kepelbagaian eksport negara dan hubungan perdagangan yang kukuh juha memainkan peranan penting di tengah-tengah ketidaktentuan pandemik dan ketegangan geopolitik," katanya dalam nota kajian.
Tambahnya lagi, program inokulasi global dan pembukaan semula sempadan juga membantu prospek eksport semakin berkembang.
Perdagangan Malaysia meneruskan momentum positifnya pada Februari 2021 apabila mencatat pertumbuhan sebanyak 15.4% kepada RM157.27 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan semalam berkata, eksport meningkat 17.6% kepada RM87.57 bilion manakala import naik 12.7% kepada RM69.7 bilion yang menyaksikan lebihan dagangan melonjak sebanyak 41.6% kepada RM17.86 bilion bagi Februari 2021.
Eksport turut mencatat pertumbuhan terpantas sejak Oktober 2018, disokong oleh peningkatan permintaan global bagi barangan E&E khususnya semikonduktor, keluaran getah serta barangan berasaskan komoditi terutama keluaran petroleum dan minyak sawit.
Sementara itu, CGS-CIMB berkata, meskipun import bagi barangan modal meningkat 39% tahun ke tahun kepada RM7.6 bilion pada Februari, tetapi ia kekal di bawah paras purata RM9.1 bilion bagi tempoh Januari 2017 hingga Disember 2019.
"Ketibaan vaksin COVID-19 mungkin menyumbang kepada peningkatan import dari China (63.4% tahun ke tahun).
"Kami menjangkakan perintah sekatan yang dilonggarkan bulan ini dan juga program vaksin akan mempercepatkan pemulihan ekonomi," katanya.
Firma itu juga percaya krisis di Terusan Suez hanya memberi impak minimum kepada dagangan Malaysia dengan ekports kekal diunjur berkembang 10.9% manakala import 11.5% tahun ini.
Ini memandangkan jangka masa gangguan yang agak singkat dan potensi keupayaan semula pasca pemulihan yang cepat.
Semalam dilaporkan kapal kontena yang menghalang laluan di Terusan Suez sejak Selasa telah dialihkan dan diapungkan semula, memetik penyedia perkhidmatan maritim, Inchcape Shipping.
Sejak 23 Mac, kapal Ever Given seberat 224,000 tan, telah tersadai disebabkan jarak penglihatan yang lemah berikutan terperangkap dalam angin kencang dan ribut pasir.
Usaha menyelamat untuk mengapungkan semula kapal telah dilakukan tetapi keadaan cuaca yang tidak baik dan saiz kapal itu telah menyebabkan operasi menyelamat menjadi sukar.
Eropah menyumbang kira-kira 10% daripada jumlah perdagangan barang dagangan Malaysia pada 2020, manakala eksport sebahagian besarnya tertumpu kepada E&E, jentera dan peralatan pengangkutan serta minyak sawit manakala import dalam bahan kimia, jentera dan peralatan pengangkutan serta barangan pembuatan.
Berdasarkan penilaian CGS-CIMB, kaedah pengangkutan antarabangsa ke Eropah yang mencerminkan agregat nasional sekitar 90% menerusi kargo laut dan 10% pengangkutan udara.
"Dengan mengambil kira senario terburuk daripada kerugian kapasiti dalam tempoh lebih 2 minggu ini, ia hanya akan mengurangkan 0.4% daripada keseluruhan eksport Malaysia tahun ini.
"Kami berpendapat ini secara signifikan menjejaskan nilai eksport memandangkan barangan pukal seperti komoditi dan peralatan berat dihantar melalui laut manakala barangan berkemampatan tinggi seperti semikonduktor diangkut melalui pengangkutan udara," katanya.
Bagi Kenanga Research pula, firma itu mengekalkan unjuran eksport pada 6% tahun ini dengan jangkaan pemulihan ekonomi global secara berterusan.
Keyakinan terhadap prospek ekonomi dan impak pelaksanaan beberapa dasar, turut mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada 4.5%.
"Tetapi, pada masa sama, kami tetap berhati-hati terhadap peningkatan gelombang baharu COVID-19 di sesetengah negara ketika ini, yang mungkin mengancam pemulihan ekonomi global," katanya. - DagangNews.com