Prestasi HPP Holdings bagi FY25, FY26 diunjur positif dipacu peningkatan permintaan dalam industri elektrik dan elektronik pengguna | DagangNews Skip to main content

Prestasi HPP Holdings bagi FY25, FY26 diunjur positif dipacu peningkatan permintaan dalam industri elektrik dan elektronik pengguna

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - CGS International mengunjurkan prestasi lebih baik untuk HPP Holdings Bhd bagi FY25 dan FY26 dipacu peningkatan permintaan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) pengguna. 

 

Hasil kumpulan itu akan meningkat masing-masing sebanyak 15.3% dan 11.9% bersama dengan peningkatan margin kasar kepada antara 20% hingga 21% daripada 18.6% pada FY24.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun tidak menjangkakan hasil kumpulan akan kembali ke paras para pandemik.

 

"Kami percaya hasil tertinggi kumpulan yang diraih sebelum pandemic COVID-19 tidak mungkin dapat dikembalikan dalam jangka sederhana," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International berkata, kumpulan itu mencatatkan peningkatan bermusim dalam hasil bagi suku keempat, dengan kenaikan 25% suku tahun ke suku tahun didorong oleh segmen E&E pengguna.

 

Katanya, syarikat itu melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM4.6 juta bagi suku berkenaan, penurunan 53.8% tahun ke tahun (YoY), kesan daripada kos pengeluaran tetap yang lebih tinggi dan pengurangan margin daripada operasi yang baru ditauliahkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tanpa sebarang peningkatan dalam pendapatan sesaham (EPS) dan margin yang rendah daripada operasi pembungkusan acuan pulpa kertas baharunya, ia dilihat akan menjejaskan pendapatan kumpulan itu. 

 

"Antara faktor yang menyokong peningkatan hasil kumpulan itu termasuk peningkatan semula yang lebih cepat daripada jangkaan bagi produk E&E pengguna yang menghasilkan jualan yang lebih besar bagi produk pembungkusan kumpulan.

 

"Kos input lebih rendah daripada jangkaan dan pengambilan lebih baik daripada yang dijangkakan daripada produk pembungkusan boleh diperbaharui baharu kumpulan itu," katanya.

 

CGS International mengekalkan saranan 'kurang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 31 sen sesaham.- DagangNews.com