Prestasi kewangan Greatech memenuhi unjuran, PublicInvest kekal saranan 'outperform'  | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan Greatech memenuhi unjuran, PublicInvest kekal saranan 'outperform' 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Public Investment Bank Research mengekalkan saranan 'outperform' bagi saham Greatech Technology Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM7.70. 

 

Firma itu berpendapat Greatech merekodkan hasil yang kukuh dalam tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 dengan keuntungan mencatat pertumbuhan 92% tahun ke tahun kepada RM114 juta. 

 

"Ini didorong terutamanya menerusi hasil yang lebih tinggi daripada segmen sistem barisan pengeluaran (PLS) dan pesanan bagi pek bateri kenderaan elektrik (EV). 

 

"Prestasi kewangan ini adalah sejajar dengan unjuran penuh kami dan juga konsensus dengan masing-masing pada 70% dan 69%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Ia juga mendapati, penambahan nilai kontrak kukuh pada suku berkenaan dengan meningkat 2 kali ganda kepada RM426 juta.

 

"Peningkatan ini yang dijangka berakhir sehingga separuh kedua 2022, disumbangkan terutamanya meenrusi pelanggan bagi tenaga solar kumpulan, yang memberi fokus untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran di Amerika Syarikat dan India," tambahnya.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, Greatech merekodkan untung bersih sebanyak RM28.97 juta, meningkat 24.75% berbanding tahun lalu, RM23.33 juta disebabkan peningkatan dalam kadar tukaran asing, kos pentadbiran yang rendah dan perbelanjaan pemasaran. 

 

Pada suku berkenaan, perolehannya juga berkembang 25.74% kepada RM95.33 juta daripada RM75.82 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Setakat 10.35 pagi, saham Greatech susut 1 sen kepada RM7.08 dengan 325,600 saham diniagakan. - DagangNews.com