Principal Islamic raih anugerah Pengurus Islamik Terbaik 2 tahun berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Principal Islamic raih anugerah Pengurus Islamik Terbaik 2 tahun berturut-turut

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Islamic, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin

 

 

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Principal Islamic Asset Management meraih anugerah Pengurus Islamik Terbaik untuk tahun kedua berturut-turut pada Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A 2021. 

 

Anugerah ini mengiktiraf pencapaian dan perkhidmatan yang ditawarkan Principal Islamic, yang telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil sepanjang waktu yang tidak menentu.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Principal Islamic, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, walaupun 2020 merupakan tahun yang sukar, namun Principal Islamic berupaya mengekalkan pencapaian yang baik bagi pelaburan para pelanggan. 

 

Katanya, Principan Islamic telah menggariskan strategi 5 tahun untuk perniagaan patuh syariah bagi menyempurnakan aspirasi menerajui agenda pelaburan Islam dalam pengurusan aset, mengembangkan produk tawaran dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

 

"Anugerah ini sememangnya menyumbang kepada momentum pertumbuhan perniagaan kami dan akan terus menawarkan produk dan penyelesaian yang dapat memberikan pulangan yang baik kepada para pelabur. 

 

"Kami yakin dapat memperkenalkan lebih banyak strategi patuh syariah dalam memenuhi permintaan bagi dana-dana yang inovatif, sesuai untuk pelbagai risiko dan pulangan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dengan kelebihan pelbagai kelas aset dan kepercayaan pelabur terutama di ASEAN dan Timur Tengah, Principal Islamic berusaha untuk memimpin sebagai penyedia penyelesaian pelaburan Islamik pilihan yang memenuhi keperluan dan objektif pelabur global.

 

Memanfaatkan kerjasama dengan Principal Global Investors (PGI), Principal Islamic akan memacu strategi patuh syariahnya termasuk dana yang fokus kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam beberapa bulan akan datang. 

 

Dengan pemahaman mendalam mengenai pematuhan syariah dan ESG, Principal Islamic komited dalam menintegrasikan prinsip ESG dan syariah. 

 

Integrasi ini melengkapkan pelaburan patuh syariah kerana kedua-duanya mempunyai banyak persamaan dari segi sosial antaranya mengelakkan pelaburan di dalam industri pembuatan senjata, alkohol, perjudian dan tembakau.

 

Principal Islamic merupakan salah satu pengurus aset Islam terkemuka di dunia dan setakat Jun 2021, telah menguruskan sejumlah RM96.7 bilion di Asia Tenggara, yang mana RM30.69 bilion adalah dana patuh syariah. - DagangNews.com