Produk penjagaan diri paling banyak dibeli - Shopee | DagangNews Skip to main content

Produk penjagaan diri paling banyak dibeli - Shopee

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Sebanyak 42% rakyat Malaysia mendapatkan keperluan penjagaan diri dengan membeli produk yang tertumpu pada kesihatan fizikal, menurut data Shopee Malaysia.

 

Data tersebut turut menunjukkan 26% pada kesejahteraan persekitaran, 25% kesejahteraan sosial dan selebihnya kesejahteraan psikologi serta rohani.

 

Sejak pandemik bermula, permintaan untuk produk yang membantu para pembeli meningkatkan kesejahteraan hidup, memberi ganjaran kepada mereka dan mengurangkan tekanan telah meningkat 6 kali ganda di platform tersebut.

 

Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, hasil daripada data itu menunjukkan bagaimana cara yang digemari rakyat Malaysia untuk menjaga kesejahteraan mereka telah berkembang sejak dua tahun lepas, menandakan peningkatan peluang baharu bagi aspek penemuan diri dan pertumbuhan peribadi. 

 

"Kami berbesar hati kerana dapat menyokong rakyat Malaysia di setiap langkah, demi membantu mereka menemui apa yang mereka perlukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Barangan dandanan diri adalah subkategori paling popular untuk penjagaan diri secara fizikal, dengan kira-kira satu pertiga daripadanya terdiri daripada produk penjagaan kulit seperti topeng muka, skrub muka, alat solek, minyak muka, pati dan serum.

 

Hiasan dan organisasi rumah pula meningkat 10 kali ganda dalam tempoh dua tahun lepas di pasaran Shopee sejak tahun 2019. 

 

Contohnya termasuk bekalan DIY, wangian dan lilin, bunga dan tumbuhan tiruan, kertas dinding dan hiasan seni dinding, rak, pengatur meja dan bakul simpanan. 

 

 

shopee
Kenneth Soh

 

 

Melihat pada trend pertumbuhan kesejahteraan sosial, permintaan rakyat Malaysia meningkat 5 kali ganda bagi produk untuk mendidik atau mengasuh bayi serta memelihara haiwan peliharaan dalam tempoh 2 tahun lepas. 

 

Barangan yang dijual yang berkaitan dengan bekalan haiwan peliharaan meningkat paling cepat dalam kategori ini. Barangan mainan, dandanan, fesyen, rumah serta aksesori untuk haiwan peliharaan meningkat 13 kali ganda dari tahun 2019 hingga tahun 2021.

 

Shopee turut menyaksikan rakyat Malaysia semakin berminat untuk mempelajari kemahiran baharu dan memupuk hobi seperti membaca, menulis jurnal, bermain permainan berpapan dan bermain alat muzik.

 

Barangan yang dijual berkaitan hobi tersebut telah meningkat sebanyak 6 kali ganda dalam tempoh dua tahun lepas.

 

Rakyat Malaysia juga melakukan penjagaan diri di luar talian, menggunakan pembayaran digital. Untuk keseluruhan tahun 2021 berbanding tahun 2019 sebelum munculnya wabak COVID-19, bagi penggunaan ShopeePay dalam kategori penjagaan diri, pesanan meningkat paling banyak bagi produk-produk sukan dan aktiviti luar, permainan, buku dan hobi, serta kesihatan dan kecantikan. 

 

Peningkatan tertinggi adalah untuk produk-produk permainan, buku dan hobi, dengan kenaikan penggunaan dicatat sebanyak 60 kali ganda. - DagangNews.com