Program Bantuan Subsidi Madani dibuka untuk permohonan - MoF | DagangNews Skip to main content

Program Bantuan Subsidi Madani dibuka untuk permohonan - MoF

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 27 Mei - Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI iaitu melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

 

Pelaksanaan ini susulan kenyataan Perutusan Negara oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

 

Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil boleh membuat permohonan BUDI MADANI yang akan dibuka mulai 28 Mei 2024.

 

Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu sementara petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

 

BACA: FAQ mengenai Kelayakan Pemilik Kenderaan Diesel Individu dibawah BUDI oleh MoF

 

Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

 

Kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu adalah seperti berikut:

1. Pemohon merupakan warganegara Malaysia;

2. Memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;

3. Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif;

4. Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.

 

Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).

 

Kriteria kelayakan bagi BUDI Agri-Komoditi adalah seperti berikut:

1. Pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

2. Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

 

 

iktisad

 

 

Permohonan awal untuk BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi menjelang pertengahan Jun 2024 Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.

 

Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima BUDI MADANI pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

 

Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024 akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

 

BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, sila layari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat budimadani@treasury.gov.my.

 

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia. Melengkapi Program Penyasaran Subsidi Diesel secara Fleet Card di bawah MYSubsidi Program BUDI MADANI melengkapi usaha sedia ada Kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

 

Setakat ini, hampir 90,000 fleet card dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.

 

Fleet Card membolehkan syarikat logistik yang layak untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak. Usaha ini adalah untuk memastikan kesan kos yang minimum kepada rantaian nilai logistik dan bekalan, secara langsung mengurangkan risiko kenaikan harga barangan keperluan rakyat.

 

 

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
                           Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

 

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata: “Dengan pelaksanaan BUDI MADANI, Kerajaan telah memperluas bantuan tunai kepada individu dan petani kecil dan pekebun kecil komoditi menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

 

“Seperti yang sering kali ditekankan oleh Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel merupakan antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi membina kemampanan kewangan Kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing.

 

“Ikhtiar BUDI MADANI mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan MADANI dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi,” tambah beliau. - DagangNews.com