Antara finalis yang melalui Sesi ‘Pitch’ Peringkat Akhir selama 2 hari pada 11 dan 12 Disember lalu.
KUALA LUMPUR 15 Dis - Sebanyak 208 usahawan startup belia bumiputera berjaya dilahirkan menerusi program SUPERB yang dianjurkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sejak 2014.
Ia turut menyaksikan 62% daripada produk mereka dan perkhidmatan mereka dikomersialkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd. Rahman berkata, Teraju membuka pintu kepada bumiputera untuk menceburi bidang keusahawanan melalui pelbagai jenis sokongan, bermula dengan program SUPERB.
Melalui SUPERB, katanya, Teraju komited untuk memupuk usahawan bumiputera yang boleh memajukan diri dan membangunkan ekosistem startup negara yang mampan serta inklusif.
"Pemupukan jati diri dan integriti usahawan-usahawan ini adalah penting supaya kualiti ekosistem startup negara berada pada tahap optimal yang membanggakan, serta dapat bersaing pada tahap global," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebanyak 60 finalis ini dipilih daripada hampir 800 jumlah permohonan setelah melalui beberapa proses saringan dan latihan intensif dalam program SUPERB 2021.
Mereka berpeluang memenangi geran permulaan perniagaan sehingga RM500,000 setelah melalui Sesi ‘Pitch’ Peringkat Akhir selama 2 hari pada 11 dan 12 Disember lalu.
Para pemenang SUPERB 2021 akan diumumkan pada awal Januari 2022.
Melalui siri ke-16 ini, para finalis telah membentangkan idea perniagaan yang berdaya saing serta berinovatif dalam mendepani era pandemik yang dihadapi berlandaskan keperluan norma baharu.
Segmen peningkatan kapasiti selama 6 minggu diperkenalkan untuk membantu para peserta menambah pengetahuan mengenai teknik pitching dan strategi keusahawanan, bermula daripada peringkat cetusan idea perniagaan, proses memulakan perniagaan, kemahiran pengurusan, sehingga mengembangkan rangkaian serta memapankan perniagaan.
Md. Silmi berkata, idea-idea perniagaan tuntas yang berjaya mara ke peringkat akhir SUPERB
ini terdiri dari pelbagai industri strategik berimpak tinggi, terutamanya aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) ekonomi digital, angkasa dan aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan, pertanian dan komoditi serta pembuatan.
"Finalis juga lebih terbuka untuk mengadaptasi pendigitalan di dalam idea perniagaan mereka dan lebih 50% menggunakan platform dalam talian dan aplikasi," katanya. - DagangNews.com