Projek GDV RM4.6 bilion mampu dibangunkan di tanah terbaharu Genting Plantations di Indonesia - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Projek GDV RM4.6 bilion mampu dibangunkan di tanah terbaharu Genting Plantations di Indonesia - AmInvestment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Julai - AmInvestment Bank Research positif dengan pembelian dua bidang tanah terbaharu oleh Genting Plantations Bhd di Kota Sentul, Jawa Barat, Indonesia yang dianggarkan nilai pembangunan kasarnya (GDV) mampu mencecah RM4.6 billion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan mengandaikan 60 rumah dibina di kawasan seluas 1 hektar, ini akan menjadikan kira-kira 9,120 rumah boleh dibina di atas tanah seluas 152 hektar. 

 

"Dengan mengandaikan harga jualan purata RM500,000 sebuah, GDV tanah itu boleh mencecah RM4.6 bilion. 

 

"Dengan mengandaikan margin keuntungan bersih sebanyak 20%, projek itu boleh menjana keuntungan bersih sebanyak RM920 juta atau RM46 juta setahun dalam tempoh 20 tahun. 

 

"Ini akan menjadi kira-kira 15% daripada keuntungan bersih tahun kewangan 2025 (FY25) Genting Plantations," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Genting Plantations beli tanah di Indonesia berharga RM593 juta untuk pembangunan hartanah

 

Menurut AmInvestment, tanah Sentul City ini telah diperuntukkan untuk projek pembangunan bercampur dan ia terletak di lokasi yang cukup strategik iaitu 1.8 kilometer dari pusat beli-belah Aeon Sentul City dan IKEA.

 

"Memandangkan cadangan pengambilan tanah itu hanya akan siap pada 1QFY25, kami percaya bahawa projek di Sentul City hanya boleh dilancarkan pada FY26F, paling awal. 

 

"Genting Plantations dijangka tidak menghadapi isu membiayai pemerolehan RM593 juta kerana kunci kira-kiranya sihat. Penggearan bersih berada pada 18.9% pada akhir FY23. Tunai kasar ialah RM1.1 billion," jelasnya.

 

AmInvestmen menyifatkan pertimbangan pembelia tanah-tanah berkenaan adalah adil.

 

"Pertimbangan pembelian untuk kedua-dua bidang tanah diterjemahkan kepada Rupiah 125,419/kaki persegi (RM36/kaki persegi). 

 

"Kos perolehan dicapai selepas mempertimbangkan nilai pasaran tanah yang diberikan oleh penilai bebas sebanyak Rupiah132,851/kaki persegi (RM38/kaki). Kami menganggap bahawa pertimbangan pembelian adalah adil," ujarnya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Beli' Genting Plantations dengan nilai saksama RM6.80 sesaham. - DagangNews.com