Projek LCS tidak akan siap-siap selagi kelewatan terus berlarutan | DagangNews Skip to main content

Projek LCS tidak akan siap-siap selagi kelewatan terus berlarutan

Projek LCS menjadi perhatian negara berikutan kelewatan dan pelbagai isu yang timbul.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

MENELITI laporan terkini Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tentang perkembangan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), kebimbangan yang timbul ialah kapal ini tidak akan siap-siap jika terus berlaku kelewatan.

 

Laporan itu secara terperinci menjelaskan tentang jenis-jenis kerja yang masih tertangguh terutamanya reka bentuk terperinci kapal (detailed design).

 

Walaupun ia dikatakan masalah kosmetik kerana tidak melibatkan struktur utama kapal tetapi pihak PAC menganggap perkara itu perlu diberikan perhatian.

 

Antara kerja-kerja yang masih tertangguh ialah pemasangan lampu pada bahagian pendaratan helikopter dan kedudukan suis-suis pada ruang kru dalam kapal.

 

Ini kerana rekaan terperinci tersebut masih gagal dimuktamadkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan pihak Naval Group Perancis.

 

Kapal
Ahli-ahli PAC semasa mengadakan lawatan meninjau perkembangan projek LCS di Lumut.

 

Bagi TLDM, ia perlu dibetulkan kerana sebagai pengguna kru akan menghabiskan masa yang lama semasa belayar nanti selain kedudukan yang betul dapat memudahkan kerja-kerja senggaraan.

 

Disebabkan masalah kecil ini PAC mendedahkan perkembangan pembinaan LCS mengalami kelewatan lebih 80 hari.

 

Selain itu, peratus kemajuan pembinaan kapal juga tidak mematuhi garis panduan ditetapkan oleh kementerian berkenaan.

 

 

Ini bukanlah kali pertama kebimbangan tentang kelewatan dalam pembinaan LCS oleh kontraktor dan Mindef disuarakan PAC dalam laporannya.

 

Sebelum ini, Mindef diarah membentangkan laporan kemajuan projek pembangunan kapal LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek itu disempurnakan.

 

Kapal

 

Kapal

 

Itu adalah antara lima syor penambahbaikan PAC terhadap laporan berkenaan di bawah Mindef bagi tempoh Jun hingga September 2023.

 

Pada Ogos 2022, PAC mendedahkan laporan isu perolehan kapal LCS kepada umum selain menyarankan tujuh langkah termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap dapatan laporan berkenaan.

 

Bagi PAC, sebarang kelewatan yang masih berlaku akan menjejaskan kepercayaan terhadap projek tersebut kerana ia membabitkan perbelanjaan wang rakyat.

 

TLDM dijadual akan menerima kelima-lima kapal LCS pada tahun 2029 dan memerlukan tambahan kos RM2.098 bilion daripada kos asal RM9.128 bilion.

 

Setelah projek LCS diselamatkan kerajaan, Boustead Naval Shipyard (BNS) telah dijenamakan semula sebagai Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS).

 

Kapal
Pegawai-pegawai TLDM semasa meninjau fasiliti BNS yang dijenamakan sebagai LUNAS bagi meneruskan tanggungjawab menyiapkan projek LCS TLDM.

 

Mengikut rancangan asal, sepatutnya enam buah LCS dibina oleh pihak BNS sepertimana perjanjian yang dimeterai pada 2013 dengan kos RM9.128 bilion.

 

Kerajaan telah pun mengeluarkan kos sebanyak RM6 bilion, malangnya tiada sebuah kapal disiapkan sehingga tahun 2022 iaitu melebihi daripada kontrak yang dimeterai.

 

Jika mengikut kiraan matematik, kos sebuah LCS sepatutnya adalah RM1.5 bilion sebuah untuk 6 kapal, bagaimana pun kos terbaharu naik kepada RM2.2 bilion sebuah untuk 5 kapal.

 

Pada atas kertas, projek LCS dilihat merugikan apabila kerajaan terpaksa mengeluarkan lebih wang bagi menampung pertambahan kos.

 

Walaupun bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan sebelum ini berkata, penambahan RM2 bilion adalah bagi pembelian sistem peluru berpandu kapal, ia sebenarnya diragui.

 

Kapal

 

Tidak pernah kita dengar dalam mana-mana projek pembinaan kapal-kapal TLDM di luar negara kos membeli persenjataan akan diputuskan selepas kapal dibina.

 

Menjadi amalan mana-mana kontraktor atau firma perkapalan untuk memuktamadkan segala keperluan pada kapal khususnya sistem persenjataan semasa kontrak dimeterai.

 

Ini kerana sistem persenjataan khususnya peluru berpandu merupakan antara item yang kritikal bagi sesebuah kapal perang.

 

Begitu pun, ia hanyalah kenyataan menteri yang tidak disertakan dengan sebarang dokumen hitam putih.

 

Melainkan telah berlaku kekurangan kos menyebabkan peruntukan tambahan diperlukan untuk menyiapkan kapal.

 

Kapal
Ilustrasi kedudukan sistem persenjataan, kemudahan dan penderia pada kapal KD Maharaja Lela.

 

 

Ini yang berlaku semasa projek pembinaan kapal ronda generasi baharu (NGPV) apabila kesemua enam kapal dapat disiapkan tetapi tanpa sistem persenjataan utama.

 

Kesemua kapal kelas Kedah ini hanya mempunyai masing-masing selaras meriam 76mm Oto Melara dan meriam 30mm Bred Mauser.

 

Projek untuk menyiapkan LCS pertama yang telah diberi nama sebagai KD Maharaja Lela ini masih panjang.

 

Fasa seterusnya ialah kapal akan diturunkan ke air yang dijangka antara bulan Mei dan Jun ini untuk ujian peralatan.

 

Selepas itu, ada tempoh 22 bulan untuk LUNAS dan pasukan projek Mindef membuat ujian pemasangan sistem dan peralatan sebelum beroperasi pada penghujung 2026.

 

Jika berjalan lancar, lapan bulan berikutnya TLDM akan menerima LCS kedua. 

 

Keadaan boleh bertukar sebaliknya. Projek LCS mungkin tertangguh lebih lama sekiranya masih berlaku kelewatan dalam tempoh 22 bulan semasa menyiapkan kapal pertama. - DagangNews.com