Projek pembinaan ECRL babitkan 2,785 syarikat tempatan - Kementerian Pengangkutan | DagangNews Skip to main content

Projek pembinaan ECRL babitkan 2,785 syarikat tempatan - Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR 17 Okt - Sebanyak 2,785 syarikat tempatan merangkumi subkontraktor, konsultan, pembekal dan pemberi perkhidmatan terbabit dalam projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sehingga 31 Ogos lalu.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan, kontraktor utama bagi projek ECRL adalah China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL), yang juga kontraktor bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Sehingga Ogos lalu, katanya, pembinaan keseluruhan projek itu mencapai kemajuan 50.29% dan tahun ini adalah tahun puncak bagi pembinaan ECRL, membabitkan kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk, pembinaan stesen dan pemasangan landasan.

 

"Pada masa ini, kerja seperti pembinaan jambatan yang menggunakan jentera 'beam launcher', kerja pengorekan dan struktur serta pembinaan terowong sedang giat dijalankan di sepanjang jajaran ECRL," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menjawab soalan asal Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai status terkini perkembangan projek ECRL, termasuk jumlah syarikat tempatan dan syarikat luar yang terbabit serta implikasi kewangan tambahan terkini bagi projek itu, lapor Berita Harian.

 

Hasbi berkata, berdasarkan Perjanjian Tambahan No 6 yang ditandatangani pada 2 Jun 2022, kos bagi pembinaan projek ECRL dari Kota Bharu, Kelantan hingga Pelabuhan Klang, Selangor, dengan jajaran sepanjang 665 kilometer (km) dan 20 stesen (penumpang dan kargo) di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang serta Selangor masih kekal, iaitu RM50.27 bilion.

 

"Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sentiasa memberi perhatian terhadap sebarang perubahan yang boleh mengakibatkan peningkatan kos bagi keseluruhan projek ECRL," katanya. - DagangNews.com