Prospek HPP kukuh pada FY24 sehingga FY25 didorong pemulihan segmen elektrik dan elektronik – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Prospek HPP kukuh pada FY24 sehingga FY25 didorong pemulihan segmen elektrik dan elektronik – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Prospek HPP Holdings Berhad kukuh pada tahun kewangan 2024 sehingga 2025 (FY24-FY25) didorong pemulihan segmen elektrik dan elektronik (E&E) sejajar dengan ekonomi global yang kian pulih.

 

Susulan keputusan FY23 kumpulan pada Jumaat lalu, Kenanga Research berkata kumpulan itu bersedia untuk meneruskan pemulihan dalam ruang E&E, yang menyumbang lebih 50% daripada jumlah jualannya.

 

“Kami menjangkakan FY24-25 yang lebih baik disebabkan pemulihan permintaan dalam ruang elektronik pengguna, sejajar dengan ekonomi global yang kian pulih.

 

“HPP memiliki pertumbuhan yang mampan dalam permintaan daripada pelanggan bagi segmen kontraseptif sarung, makanan dan minuman (F&B) serta farmaseutikal, ditambah sumbangan sulung daripada sumbangan sulung daripada segmen acuan pulpa kertasnya, iaitu produk baharu dengan pasaran sedia ada daripada pelanggan sedia ada,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan HPP bagi FY24 sementara memperkenalkan angka FY25, di mana keuntungan bersih kumpulan tersebut dijangka capai RM13.8 juta.

 

MIDF Research turut mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) 44 sen sesaham.

 

Menurut firma itu, HPP disukai kerana ia memiliki prospek pertumbuhan jangka panjang yang kukuh bagi pengguna akhirnya, iaitu segmen elektronik pengguna, kontraseptif sarung, F&B dan farmaseutikal

 

Di samping itu, pensijilan G7 Master Colourspace yang diiktiraf di peringkat global, membolehkannya mewujudkan asas kukuh dalam rantaian bekalan syarikat multinasional, menyediakan penyelesaian reka bentuk, pelbagai warna dan penyelesaian percetakan offset atau flexographic beresolusi tinggi, ditambah pangkalan pelanggannya yang kukuh termasuk Pelanggan D.

 

Mengulas mengenai keputusan FY23 kumpulan baru-baru ini, MIDF Research berkata keuntungan bersih RM9.3 juta memenuhi jangkaan firma dan konsensus disebabkan margin yang bertambah baik, sebahagiannya diimbangi oleh pengurangan jualan dalam segmen elektronik pengguna.

 

“Keuntungan bersih teras FY23 meningkat sebanyak 11% berikutan pengembangan dalam margin operasi kepada 17% daripada 14% berikutan kos input lebih rendah dan peningkatan harga jualan,” jelasnya.

 

Saham HPP dibuka menokok 1 sen atau 3.1% kepada 33 sen dengan modal pasarannya bernilai RM128.2 juta. - DagangNews.com