Prospek Petronas Chemicals masih mencabar, HLIB kurangkan unjuran pendapatan bagi FY23-25 antara 20% sehingga 40% | DagangNews Skip to main content

Prospek Petronas Chemicals masih mencabar, HLIB kurangkan unjuran pendapatan bagi FY23-25 antara 20% sehingga 40%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 40%, 22% dan 20% selepas menyelaras model pendapatannya.

 

Jelasnya, semak turun tersebut mengambil kira perbezaan harga belian dan jualan produk keseluruhannya dan kadar penggunaan kilang segmen baja dan metanol yang lebih rendah sedikit.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM5.40 daripada RM5.83 sebelumnya.

 

Petronas Chemicals mencatatkan keuntungan bersih suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) sebanyak RM596 juta, turun 1% suku ke suku (QoQ) dan 68% lebih rendah tahun ke tahun (YoY), menjadikan keuntungan bersih separuh pertama 2023 (1H23) berjumlah RM1.2 bilion (susut 69% YoY).

 

HLIB berkata keuntungan bersih Petronas Chemicals tersebut berada di bawah jangkaan dengan hanya merangkumi 27% daripada anggaran tahun penuhnya dan 36% bagi konsensus.

 

Menurut firma itu, Petronas Chemical masih dalam kesukaran berikutan peningkatan dalam jurang harga jualan dan belian produk olefin dan derivatif (O&D), yang mungkin tidak kekal selepas Minggu Emas dan cuti perayaan Diwali; normalisasi harga urea selepas tender dibuka untuk musim penanaman Rabi di India dengan hanya lonjakan permintaan jangka pendek; dan Pengerang belum memperkukuhkan perbelanjaan faedah dan susut nilai untuk lojinya (kira-kira RM400 juta setahun) setakat ini.

 

Selain itu, HLIB berkata penambahan operasi Pengerang telah menambah sedikit ketidaktentuan dalam margin keuntungan segmen O&D.

 

Firma itu berkata saranan dan TP untuk Petronas Chemicals ditambat kepada gandaan sebanyak 12 kali ganda pada pendapatan FY24, sejajar dengan gandaan penilaian syarikat setara globalnya.

 

Setakat 10:07 pagi ini, saham Petronas Chemicals susut 23 sen atau 3.3% kepada RM6.78 dengan permodalan pasaran sebanyak RM54.2 bilion. - DagangNews.com