Prospek SSF Home diramal positif dipacu perkembangan perniagaan di seluruh Malaysia - Apex Securities | DagangNews Skip to main content

Prospek SSF Home diramal positif dipacu perkembangan perniagaan di seluruh Malaysia - Apex Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Apex Securities positif terhadap prospek jangka panjang SSF Home Group dipacu rancangan perkembangan perniagaan di seluruh Malaysia.

 

Katanya, kumpulan itu berhasrat menambah enam lagi cawangan menjadikan keseluruhannya kepada 48 cawangan menjelang akhir FY25.

 

"Ia membolehkan kumpulan meningkatkan keterlihatan dan pengiktirafan jenama, sambil berpotensi memperbesar pangkalan pelanggan melalui jangkauan geografi yang lebih luas.

 

"Kami menganggap bahawa langkah itu akan mengukuhkan kedudukan kumpulan itu sebagai antara syarikat perabot terkemuka di Malaysia dan akan meningkatkan pendapatan dalam jangka masa Panjang," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain perkembangan geografi, prospek kumpulan itu juga disokong dengan penambaikan penglibatan pelanggan menerusi peserta keahlian aktif, aplikasi mudah alih dalaman an revolusi produk rumah bagi memenuhi keperluan pelanggan.

 

"Kami menyukai SSF kerana kedudukan bersepadunya sebagai antara perabot rumah terbesar di Malaysia, menguasai kira-kira 0.3% bahagian pasaran dalam industri runcit kelengkapan rumah Malaysia berdasarkan pendapatan tahun kewangan berakhir April 2023 (FY23),” katanya.

 

Apex Securities berkata, memandangkan sebahagian besar produk diperoleh dari luar negara pada masa ini, SSF menyasarkan untuk menyediakan saluran penyumberan dalaman dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kos dan mengukuhkan rantaian bekalan.

 

Kumpulan itu juga akan bekerjasama dengan syarikat pembuatan tempatan bagi mewujudkan barisan pengeluaran eksklusif yang khusus untuk produk kumpulan itu.

 

Firma penyelidikan itu memberikan harga sasaran (TP) sebanyak 60 sen untuk saham itu, dengan mengambil kira pembukaan cawangan baharu SSF secara beransur-ansur.

 

“Pendapatan teras dijangka bertambah baik daripada pembukaan cawangan baharu yang agresif dalam usaha untuk memanfaatkan jangkauan geografi yang lebih luas dalam Malaysia dan meningkatkan kuasa beli berikutan pengenalan Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya. - DagangNews.com