Prospek suku keempat Dialog kekal mencabar - Firma | DagangNews Skip to main content

Prospek suku keempat Dialog kekal mencabar - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Prospek Dialog Group Bhd. bagi suku keempat tahun kewangan 2021 meskipun dilihat bertambah baik tetapi masih kekal mencabar, menurut CGS-CIMB. 

 

Penganalisisnya, Raymond Yap berkata, ini kerana pada suku tersebut, kumpulan sepatutnya mendapat kelebihan daripada terminal BP Singapore bagi Fasa Ketiga Pengerang (PP3).

 

"Antara berita positif yang lain termasuklah, terminal dengan tempoh pajakan jangka pendek hingga sederhana seperti Pengerang Independent Terminals Sdn Bhd (PITSB) dan terminal Langsat kekal digunakan sepenuhnya hingga ke hari ini walaupun minyak global telah habis digunakan sejak suku ketiga 2020 yang dijangka bertahan sehingga suku kedua 2021, menurut Pentadbiran Tenaga Amerika Syarikat (EIA)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, katanya, pasaran tidak mengambil kira faktor potensi jangka masa panjang menerusi PP3 dengan persekitaran operasi masih kekal mencabar. 

 

Sekatan perjalanan antarabangsa yang berterusan, akan terus memperlahankan keupayaan Dialog untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di luar negara, tambahnya. 

 

"Dalam masa sama, ketidaktentuan harga minyak mentah pada tahun lalu dan penutupan sempadan dilihat terus menjejaskan pemerolehan pelanggan baharu dan pembangunan di PP3," jelas firma itu. 

 

Raymond berkata, kali terakhir Dialog memperoleh pelanggan baharu ialah BP Singapore yang diumumkan Mei 2019 dan sejak itu kumpulan tiada pelanggan baharu di PP3.

 

"Kekurangan aliran berita yang positif menyebabkan harga sahamnya menurun lebih daripada 20% sejak kebelakangan ini," katanya.

 

Firma itu mengulangi saranan 'tambah' ke atas Dialog memandangkan secara relatif ia dinilai rendah berbanding potensi jangka panjangnya.

 

Bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2021, Dialog mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM136.17 juta, merosot 10% daripada RM151.04 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil jatuh kepada RM405.18 juta daripada RM505.43 juta yang dicapai pada suku yang sama tahun sebelumnya, 

 

Dialog dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, walaupun perolehan dan keuntungan bersih yang lebih rendah dilaporkan dalam aktiviti hiliran, kumpulan menyaksikan peningkatan sumbangan daripada
perniagaan pendapatan berulangnya seperti terminal pertengahan.

 

Mengenai prospek masa depan, kumpulan itu akan terus membangunkan Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT) untuk pemain minyak, gas dan petrokimia yang dikenal pasti dapat meningkatkan pertumbuhan permintaan Asia Pasifik dalam tempoh 30 tahun akan datang. - DagangNews.com