Proton jual 154,611 unit kenderaan pada 2023, prestasi terbaik sejak 2012 | DagangNews Skip to main content

Proton jual 154,611 unit kenderaan pada 2023, prestasi terbaik sejak 2012

Pelancaran tiga model SUV yang terdiri daripada Proton X50, Proton X70 dan Proton X90 telah menambah lebih 200,000 unit kepada jumlah jualan sejak Disember 2018.

KUALA LUMPUR 2 Jan - Pengeluar kereta Proton Holdings Bhd melabuhkan tirai tahun 2023 dengan mencatatkan prestasi jualan terbaiknya sejak tahun 2012 apabila mencapai pertumbuhan jualan bagi lima tahun berturut-turut.

 

Dalam satu kenyataan, Proton memaklumkan sebanyak 154,611 unit kenderaan berjaya dijual untuk pasaran domestik dan eksport pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 9.3% berbanding 141,432 unit yang dijual pada 2022.

 

"Hasilnya, Proton turut menamatkan tahun 2023 di tempat kedua dalam jualan keseluruhan, yang juga merupakan tahun kelima berturut-turut ia mengekalkan kedudukannya," kata syarikat itu.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, tahun 2023 merupakan satu lagi tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif kerana jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3% berbanding volum tertinggi sebelumnya yang dicapai hanya 12 bulan sebelumnya. 

 

Katanya, faktor seperti pemenuhan pesanan untuk kereta bebas cukai sehingga akhir bulan Mac tidak syak lagi mendorong peningkatan volum pada suku pertama tahun itu, tetapi ia juga merupakan tahun yang aktif untuk pelancaran kereta dengan gangguan minimum yang disebabkan oleh kekurangan alat ganti.

 

"PROTON berterima kasih atas sambutan hangat rakyat Malaysia terhadap produk kami. Kejayaan ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan lebih daripada sekadar kenderaan mampu milik kerana kami juga menekankan reka bentuk yang bergaya, teknologi canggih dan komitmen yang kuat terhadap keselamatan dalam semua model Proton. 

 

"Menjelang tahun 2024, kami yakin kami akan mengekalkan momentum ini, disokong oleh pengenalan model baharu kami, S70,” kata Chunrong.

 

Bagi Proton S70 pula, kenyataan tersebut menjelaskan penghantaran kepada pelanggan akan bermula pada tahun 2024 dan sehingga kini, lebih 5,000 tempahan telah diterima. 

 

Dalam pada itu, syarikat tersebut menjelaskan, pelancaran tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terdiri daripada Proton X50, Proton X70 dan Proton X90 telah menambah lebih 200,000 unit kepada jumlah jualan sejak Disember 2018.

 

Bagaimanapun kata Proton, pertumbuhan jualan pada 2023 dipacu oleh peningkatan semula permintaan untuk model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga).

 

"Proton Saga memulakan dan mengakhiri tahun ini sebagai model Proton terlaris dengan mencatatkan jualan 70,184 unit yang mengagumkan, prestasi terbaiknya sejak tahun 2012, dan meletakkannya sebagai kenderaan keempat terlaris di Malaysia untuk tahun 2023," kata kenyataan itu. - DagangNews.com