Proton lancarkan rangkaian stamping baharu bernilai RM253 juta di Tanjong Malim | DagangNews Skip to main content

Proton lancarkan rangkaian stamping baharu bernilai RM253 juta di Tanjong Malim

Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 26 Julai - Proton baru-baru ini telah melancarkan majlis upacara pecah tanah bagi penambahan rangkaian stamping baharu yang telah diperuntukkan sebanyak RM253 juta ke fasilitinya di Tanjong Malim.

 

Rangkaian baharu itu dikenali sebagai stamping E dan F dan akan meningkatkan jumlah pengeluarannya di Proton Tanjong Malim dan bersedia untuk memindahkan pengeluaran Proton Saga dari Shah Alam menjelang tahun 2026.

 

Selain itu, Proton jangka projek itu akan menampung peningkatan jumlah pengeluaran keseluruhan serta model-model baharu yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat. 

 

Projek itu merupakan penambahan kedua untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran alat ganti Proton selepas perasmian kilang rangkaian stamping D pada 14 Mac 2023 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

 

Turut hadir majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr. Li Chunrong, beliau berkata, “Penambahan rangkaian stamping E dan F adalah penting bagi rancangan pengembangan volum pengeluaran masa depan Proton kerana ia memberi kami lebih banyak fleksibiliti untuk meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran. 

 

"Sepanjang tahun 2023 sehingga Jun 2024, kilang Tanjong Malim telah menghasilkan sebanyak 6,067,064 komponen kerta, di mana 395,211 daripadanya adalah dari rangkaian D. 

 

"Jumlah ini akan berkembang dengan pesat apabila pengeluaran untuk Proton Saga dipindahkan ke sini pada tahun 2026,” ujarnya semasa berucap di majlis itu.

 

Proton juga berkata, rangkaian baharu E akan mempunyai proses pengecapan empat peringkat dengan mesin pengecapan 1600 tan dan tiga mesin 800 tan. 

 

Selain itu, rangkaian F akan menggunakan proses pengecapan lima peringkat dengan mesin pengecapan 2000 tan, 1200 tan, dan tiga mesin dengan daya pengecap 1000 tan.

 

Selain mesin pengecapan, robot juga akan digunakan untuk memindahkan alat ganti antara stesen kerja, manakala teknologi IR 4.0 akan dilaksanakan dengan menggunakan data secara langsung dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti alat ganti yang dihasilkan.

 

Di samping itu, Proton menegaskan rangkaian baharu itu akan membantu mengurangkan lagi kebergantungan syarikat itu terhadap alat ganti import untuk model-modelnya. 

 

Katanya, penambah rangkaian itu akan melindungi syarikat daripada kemungkinan gangguan dalam perdagangan global, dan menambahbaik bekalan alat ganti tempatan.

 

Pada masa yang sama, pelaburan itu akan meningkatkan kecekapan yang sedia ada di Tanjong Malim dan akan menyumbang kepada pembangunan berterusan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

 

Li turut menegaskan usaha Proton bergerak ke arah menyatukan operasi pengeluaran di Tanjong Malim, syarikat itu juga akan terus berusaha meningkatkan penyumberan alat ganti tempatan. 

 

"Selain daripada pertimbangan kos dan keselamatan alat ganti, kami terus mempertahankan matlamat kerajaan untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri automotif melalui penciptaan pekerjaan pada pelbagai peringkat,” ujarnya.- DagangNews.com