Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Syarikat Proton Holdings Bhd. (Proton) menyasarkan peningkatan jumlah eksport kenderaan pada tahun 2021.
Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, sasaran itu diletakkan melalui pelancaran produk di lima pasaran baharu dalam tempoh terdekat.
“Mendahului pasaran tempatan masih salah satu sasaran kami tetapi pada masa yang sama, ia amatlah penting bagi jenama Proton membina namanya di pasaran antarabangsa kerana ia mewakili syarikat dan Malaysia.
"Objektif ini dinyatakan dengan jelas dalam rancangan 10-tahun kami yang telah dibentuk pada permulaan kerjasama strategik dengan Geely.
"Dalam jangka masa beberapa minggu ini, kami akan mengumumkan permulaan aktiviti pemasangan tempatan dan jualan di Kenya dan Pakistan serta jualan Proton X50 di Brunei," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, selain daripada negara-negara yang diumumkan, Bangladesh dan Mesir juga akan mengadakan pelancaran Proton Saga secara dalam talian pada bulan ini.
Pelancaran tersebut akan diikuti oleh satu lagi pelancaran di Nepal sebelum tahun berakhir.
Pada 2020, Proton telah berjaya mengatasi haluan industri tempatan dengan pertumbuhan kadar jualan di samping pengembangan aktiviti eksport.
Hingga akhir November, jumlah eksport telah bertambah sebanyak 10.6% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 walaupun terdapat sekatan sedunia disebabkan pandemik koronavirus.
Sebanyak 405,267 unit kenderaan berjenama Proton telah dieksport ke seluruh dunia semenjak akitiviti itu bermula pada tahun 1989 melalui model Proton Saga. - DagangNews.com