PTP, Universiti Malaysia Terengganu perbaharui MoU tingkatkan kerjasama pembangunan bakat | DagangNews Skip to main content

PTP, Universiti Malaysia Terengganu perbaharui MoU tingkatkan kerjasama pembangunan bakat

Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar dan Marco Neelsen (tengah) telah menandatangani MoU di Wisma A PTP, Gelang Patah pada 14 Julai 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), ahli MMC Group telah memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 14 Julai di Gelang Patah.

 

Menurut satu kenyataan media, syarikat itu berkata MoU tersebut diperbaharui untuk mempertingkatkan kerjasama dalam pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkongsian kepakaran dalam teknologi maritim, pengurusan pelabuhan dan bidang minat lain yang berkaitan, sebagai sebahagian daripada usaha dalam meningkatkan sektor maritim di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata MoU tersebut menandakan pencapaian dalam komitmen syarikat ke arah pembangunan bakat tempatan dan akan membantunya menambah baik program pembangunan bakat, serta meningkatkan kapasiti dan keupayaan tenaga kerja di PTP dan Malaysia.

 

“Sejak lima tahun lalu, kedua-dua UMT dan PTP telah bekerjasama dan melaksanakan program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) untuk latihan amali serta program sangkutan industri.

 

“Melalui inisiatif ini, kami telah mengenal pasti dan menyerap pelajar UMT ke dalam program Perantis Perancangan Operasi Pelabuhan (POPA) kami sejak 2017,” ujar beliau.

 

 

mou ptp-umt

 

 

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata kerjasama tersebut adalah peluang keemasan bagi ahli akademik UMT untuk menerajui isu termaju berkaitan teknologi maritim dan pengurusan pelabuhan.

 

“Perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak juga akan diperluaskan untuk tujuan akademik ke arah pembangunan modul latihan berhubung dengan industri pelabuhan,” tambahnya.

 

Menurut PTP, kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan adalah sebahagian daripada inisiatifnya meningkatkan tahap kecekapan dan kemahiran kakitangan semasa dan akan datang.

 

Tambahnya, ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen PTP di bawah agenda ‘sosial’ di bawah strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), agar meningkatkan kepelbagaian, ekuiti dan kemasukan (DEI) dalam syarikat, serta mengasah potensi pekerja melalui peluang latihan dan pembangunan. - DagangNews.com