KUALA LUMPUR 10 Jan - Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberitahu, anak syarikat milik penuhnya, TNB Western Energy Bhd (TNB WE), menerima notis cukai pendapatan berjumlah RM291.55 juta untuk tahun taksiran 2018 daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
TNB WE adalah anak syarikat sepenuhnya TNB Manjung Five Sdn Bhd, yang seterusnya merupakan anak syarikat milik penuh TNB Power Generation Sdn Bhd.
Syarikat utiliti nasional itu berkata, TNB WE pada 31 Disember 2024 telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar perkara-perkara yang timbul daripada notis taksiran tersebut.
"Mahkamah Tinggi semalam memberikan penangguhan sementara terhadap semua prosiding seterusnya, termasuk penguatkuasaan notis tersebut, sehingga permohonan semakan kehakiman selesai sepenuhnya," jelas TNB dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Katanya, Mahkamah Tinggi menjadualkan pendengaran permohonan pada 14 April 2025.
"Sebarang perkembangan penting berkaitan perkara ini akan diumumkan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Pada 20 Ogos 2024, TNB sekali lagi dikenakan cukai baharu berjumlah RM1.39 bilion daripada LHDN yang masing-masing merupakan taksiran tambahan bagi tahun 2020 (RM685.8 juta) dan 2021 (RM705.2 juta).
Gergasi utiliti itu juga telah memperoleh penangguhan sementara daripada Mahkamah Tinggi untuk menghentikan pembayaran cukai tambahan tersebut.
Pada sesi dagangan tengah hari ini, harga saham TNB meningkat 12 sen atau 0.9% kepada RM14.24, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM82.8 bilion.
Harga saham TNB meningkat sebanyak 35.9% sepanjang tahun lalu. - DagangNews.com