PublicInvest positif dengan kejayaan MGB luaskan jejak ke Asia Barat | DagangNews Skip to main content

PublicInvest positif dengan kejayaan MGB luaskan jejak ke Asia Barat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) positif terhadap kejayaan MGB Berhad dalam mengembangkan jejaknya ke Asia Barat menerusi jalinan kerjasama dengan SANY Alameriah.

 

Jalinan kerjasama itu menyaksikan MGB International for Industry (MGBI) akan mengendalikan kilang konkrit pratuang SANY Alameriah yang terletak di Al Lith RD, bandar perindustrian ketiga Jeddah, Arab Saudi bagi pengeluaran dan pemasangan produk konkrit pratuang untuk memenuhi kontrak pembekalan dan pemasangan. 

 

Firma itu menjangkakan pemberian kontrak akan dilaksanakan menjelang 4QFY23. 

 

Katanya, dengan mengandaikan margin rendah serta kadar cukai korporat asas di Arab Saudi sebanyak 20%, kontrak berpotensi dianggarkan menyumbang 12% secara purata setahun FY24 hingga FY26. 

 

Firma itu berkata, ia adalah berdasarkan pemberian akan berlaku pada 4QFY23 dan kontrak bertahan dalam tempoh tiga tahun berdasarkan tahap pesanan tertentu setiap tahun.

 

"Menerusi kontrak ini, kami percaya MGB akan menerima pengiktirafan yang lebih luas terhadap keupayaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang boleh memberi petanda baik kepada kumpulan apabila landskap pembinaan domestik beralih kepada pembuatan luar tapak yang cekap," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MGB yang merupakan penyedia perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah yang juga anak syarikat LBS Bina Group Berhad menyatakan bahawa kilang di Al Lith itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 810,000 meter padu untuk tiga tahun.

 

Menerusi perjanjian itu, SANY Almeriah komited untuk menyediakan 270,000 meter padu produk konkrit pratuang dalam tempoh tiga tahun, dengan jumlah pesanan minimum sebanyak 90,000 meter padu pada tahun pertama.

 

Kadar pasaran semasa untuk produk konkrit pratuang di Arab Saudi adalah di dalam lingkungan 1,800 hingga 2,200 riyal setiap meter padu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.03.- DagangNews.com