PublicInvest positif langkah IGB lupus aset di London, kekal saranan 'outperform' | DagangNews Skip to main content

PublicInvest positif langkah IGB lupus aset di London, kekal saranan 'outperform'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Public Investment Bank Research mengekalkan saranan 'outperform' terhadap IGB Bhd. dengan harga sasaran juga dikekalkan pada RM2.70. 

 

Firma itu positif terhadap langkah kumpulan yang menjual kesemua 50% kepentingan ekuiti dan hutang pemegang saham dalam hak milik pegangan bebas di London kepada unit kumpulan hartanah global Hines dengan harga GBP104.375 juta (RM600 juta).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, IGB berkata, unit Verokey Sdn Bhd dan Tower Ray Ltd miliknya masing-masing menjual 50% kepentingan dalam usaha sama Black Pearl Ltd, yang memiliki tanah yang dikenali sebagai 18 Blackfriars Road, SE1, London, dan memindahkan hutang pemegang saham mereka kepada HNG Blackfriars 1 Ltd pada harga GBP208.75 juta.

 

"Kami melihat langkah ini adalah positif memandangkan dana yang dikumpul boleh dialihkan kepada hasil dan pelaburan yang lebih menarik.

 

"Malah, kami juga memahami bahawa transaksi ini akan menyaksikan peningkatan dalam aset bersih sesaham kumpulan dan pendapatan sesaham kira-kira 21 sen setiap satu apabila ia dimuktamadkan.

 

"Oleh itu, kami setakat ini, mengekalkan unjuran pendapatan kami sementara menanti perjanjian itu dimuktamadkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Baca : IGB lepaskan 50% kepentingan dalam hartanah di London

 

 

Menurut PublicInvest, sebelum ini cadangan pelupusan itu pernah dibangkitkan pada 2019 (yang mana ia menandatangani perjanjian terma yang tidak terikat dengan Hero Inc Ltd, Staycity Ltd and BSW Land and Property Ltd.).

 

"Tetapi urus niaga ini kemudiannya dibatalkan. Bagaimanapun, kami memahami, jumlah pelaburan yang dibawa VSB ke dalam BPL adalah sebanyak RM370 juta termasuk pendahuluan pemegang saham kepada BPL sebanyak RM376.6 juta," katanya.

 

Setakat 12.22 tengah hari ini, saham IGB susut 1 sen atau 0.51% kepada RM1.97 dengan 6,000 saham diniagakan. - DagangNews.com