Punca firma Jepun tarik diri daripada projek kereta api laju Malaysia | DagangNews Skip to main content

Punca firma Jepun tarik diri daripada projek kereta api laju Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Jan - Syarikat Jepun seperti East Japan Railway tidak berminat untuk mengambil bahagian dalam projek kereta api laju bernilai berbilion ringgit di Malaysia kerana tiada pembiayaan kerajaan tersedia bagi menyokong pembangunan itu.

 

Sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu berkata, sejak dokumen permintaan maklumat (RFI) dikeluarkan pada Julai 2023, tiada satu syarikat Jepun membayar RM20,000 untuk mendapatkan dokumen berkenaan.

 

"Syarikat-syarikat Jepun itu tidak membeli dokumen RFI kerana mereka sudah tahu tidak akan ada pembiayaan daripada kerajaan. 

 

"Oleh itu, laporan mengenai mereka tercicir daripada HSR KL-Singapura adalah mengelirukan," kata sumber yang mempunyai hubungan dengan firma Jepun itu kepada Business Times, hari ini.

 

Sebelum ini, dilaporkan bahawa syarikat-syarikat Jepun telah menarik balik bidaan mereka untuk membina HSR KL-Singapura kerana bimbang tentang kekurangan sokongan pembiayaan kerajaan Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Firma Jepun tarik diri daripada projek HSR Malaysia-Singapura menjelang tarikh akhir RFI – laporan

 

Menurut laporan dari Jepun, beberapa syarikat, seperti East Japan Railway berhasrat untuk membawa Shinkansen, atau kereta api laju dan sistem negara itu ke dalam projek HSR KL-Singapura.

 

Bagaimanapun, mereka membuat kesimpulan bahawa pelaburan itu akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kerajaan.

 

hsr

 

Daripada perjanjian awal antara Malaysia dan Singapura pada 2013, HSR KL-Singapura telah menghadapi pelbagai halangan sebelum dibatalkan pada 2020 dan kemudiannya dihidupkan semula pada Julai 2023.

 

Malaysia berharap dapat mengelak daripada menggunakan dana awam untuk pembinaan itu dan berharap dapat membiayai projek itu menggunakan pelaburan swasta.

 

Keputusan syarikat-syarikat Jepun menarik diri daripada projek itu membawa lebih kebimbangan kepada projek itu memandangkan minat jangka panjang negara terhadap idea itu termasuk lawatan Menteri Pegangkutan pada ketika itu, Keiichi Ishii pada 2015 bagi memperkenalkan sistem Shinkansen.

 

Selain East Japan Railway, dialporkan bahawa Sumitomo juga berminat untuk menyokong projek itu semasa cadangan awalnya.

 

"Syarikat-syarikat Jepun tidak berminat kerana mereka lebih suka melabur dan menggunakan sumber mereka di negara-negara yang berminat mengembangkan rangkaian kereta api mereka dengan penglibatan pembiayaan daripada kerajaan.

 

"Lihat apa yang dilakukan Jepun di India. Di negara itu, kerajaan bertanggungjawab secara langsung terhadap pembangunan kereta api tetapi di Malaysia, dana pembangunan diperlukan daripada pelaburan swasta," kata sumber itu.

 

Di bandar Surat, barat Gujarat, laluan percubaan pertama sepanjang 508km yang dibina dengan bantuan Jepun menggunakan model Shinkansen dijadualkan siap pada 2026.

 

Laluan yang menghubungkan Mumbai, hab komersial di Maharashtra dan Ahmedabad di Gujerat, akan mempunyai kereta api mencapai kelajuan sehingga 320 km/j, mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada kurang tiga jam berbanding enam jam.

 

Projek bernilai 1.08 trilion Rupee itu, menyaksikan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun dilaporkan membayar 81% daripada kos pada kadar faedah 0.1%, mempunyai kira-kira 45,000 orang yang bekerja untuk projek itu. - DagangNews.com