Purata harga jualan sarung tangan Kossan dijangka menyusut - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Purata harga jualan sarung tangan Kossan dijangka menyusut - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Permintaan segera yang kian pudar bagi sarung tangan getah dijangka mendorong purata harga jualan (ASP) Kossan Rubber Industries Berhad menyusut pada tempoh suku tahun akan datang. 

 

MIDF Research percaya bahawa ASP syarikat pengeluar sarung tangan getah itu telah memuncak pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21), menurut penganalisisnya, Ng Bei Shan.

 

“Namun, kami difahamkan bahawa kapasiti Kossan telah sepenuhnya ditempah sehingga penghujung tahun ini, menunjukkan permintaan sarung tangan getah masih lagi kukuh.

 

“Kekal ‘neutral’ (ke atas saham Kossan) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM3.31 (sesaham). TP kami iaitu RM3.31 adalah berdasarkan penilaian nisbah harga kepada perolehan (PER) 17.5x yang tidak berubah (-1.0 sisihan piawaian di bawah min 5 tahun), berdasarkan EPS FY22 sebanyak 18.9 sen. 

 

“Kami ‘neutral’ terhadap saham itu kerana keuntungan modalnya terhad. Risiko kepada penarafan kami termasuk penyusutan lebih daripada jangkaan dalam ASP, gangguan pengeluaran dan rantaian bekalan. 

 

“Kadar hasil dividen dijangkakan pada kadar 2.0%,” jelas Bei Shan dalam satu nota kajian. 

 

Semalam, Kossan mengumumkan lonjakan keuntungan bersih 2QFY21 sebanyak 2.3% suku ke suku (q-o-q) kepada RM1.06 bilion seiring peningkatan hasilnya sebanyak 2.1% q-o-q kepada RM2.24 bilion. 

 

Prestasi yang lebih baik itu didorong oleh ASP lebih tinggi, di mana mengurangkan sedikit kesan jumlah pengeluaran yang lebih rendah kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga penghujung suku tahun berkenaan. 

 

Sepanjang suku tahun semasa, jualan bagi bahagian sarung tangan teknikal meningkat sebanyak 21.3% q-o-q kepada RM50.4 juta sementara jualan bahagian bilik bersih melonjak 8.6% q-o-q kepada RM61.2 juta serta bahagian sarung tangan sebanyak 1.5% q-o-q kepada RM2.1 bilion. 

 

Senada itu, Kenanga Research juga menjangkakan ASP kumpulan bakal menyusut berdasarkan pergerakan harga saham baru-baru ini, di mana kelemahan harga jualan itu sudah diambil kira dalam harga sahamnya, yang bernilai RM3.29 pada penutupan semalam.

 

Kenanga mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas Kossan walaupun TP diturunkan kepada RM5 daripada RM5.84 sebelum ini selepas unjuran perolehan kumpulan disemak semula.

 

Firma penyelidikan itu menurunkan unjuran keuntungan bersih FY21 sebanyak 8% selepas mengambil kira kadar penggunaan yang lebih rendah iaitu 90% daripada 98% sebelum ini. 

 

Unjuran FY22 bagaimanapun dikekalkan dengan unjuran ASP pada kadar AS$40 bagi 1,000 unit. - DagangNews.com