Pusat beli-belah Megah Rise bakal jadi mercu tanda baharu Petaling Jaya | DagangNews Skip to main content

Pusat beli-belah Megah Rise bakal jadi mercu tanda baharu Petaling Jaya

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Sept - Sempena sambutan ulang tahun ke-40 bahagian hartanah PPB Group Berhad, PBB Properties hari ini memperkenalkan pusat beli belah baharu berteraskan komuniti yang dinamakan Megah Rise.

 

Diposisikan untuk menjadi sebagai ruang pewujudan tempat (placemaking) bagi komuniti di Taman Megah, Petaling Jaya, Megah Rise berhasrat untuk menambah daya hidup di kejiranan tempatan. 

 

Ruang perniagaan empat tingkat Megah Rise direka untuk menghidupkan kembali kejiranan matang Taman Megah dengan daya tarikan moden. 

 

Dengan kira-kira 100 kedai, merangkumi 142,000 kaki persegi kawasan yang boleh disewakan, pusat beli belah yang diterajui komuniti itu akan dibuka kepada orang awam pada Disember 2022.

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen PPB Properties untuk menambah nilai kepada masyarakat setempat, sebuah dewan sukan serba guna berhawa dingin yang berkeluasan lebih 13,584 kaki persegi dibina untuk memenuhi aktiviti sukan rekreasi. 

 

Dewan sukan dalaman yang luas dilengkapi dengan enam gelanggang badminton direka bentuk untuk menjadi modular dan ruangnya boleh diubah untuk aktiviti sukan lain. 

 

Di tingkat bawah, persiaran berturap kira-kira 115 meter panjang telah direka khas yang dikenali sebagai #MegahWalk yang mana kemudahan ini adalah mesra haiwan peliharaan dan terdapat ruang makan terbuka di sepanjang laluan pejalan kaki. 

 

 

ppb

 

 

#MegahWalk juga akan bertukar menjadi ruang berkumpul yang unik untuk buskers, pasar ‘artisanal’, acara dan pameran pada hujung minggu. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif PPB Properties, Low Eng Hooi berkata, projek Megah Rise menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah 40 tahun PPB Properties. 

 

 

ppb

 

 

ppb

 

 

"Ia mencerminkan usaha berterusan kami untuk membina pembangunan yang boleh menyumbang, menambah baik dan menambah nilai kepada masyarakat. Megah Rise akan diuruskan pasukan pengurusan perniagaan kami yang berpengalaman.

 

"Kami komited untuk memastikan ruang ini akan terus berkembang maju sebagai mercu tanda terbaharu di Petaling Jaya. Kami berharap Megah Rise akan meningkatkan lanskap sosioekonomi kejiranan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terletak di atas tanah seluas 3.36 ekar, pembangunan bercampur 39 tingkat ini disepadukan dengan 228 unit kediaman. Menara kediaman yang dinamakan Megah Rise Residensi ini merupakan satu-satunya bangunan tinggi di Taman Megah yang menawarkan pemandangan panoramik Petaling Jaya tanpa halangan. - DagangNews.com