Pusat data TM Nxera di Iskandar Puteri sedia AI, bakal memulakan operasi 2026 | DagangNews Skip to main content

Pusat data TM Nxera di Iskandar Puteri sedia AI, bakal memulakan operasi 2026

Majlis pecah tanah kampus pusat data 64MW TM Nxera di Iskandar Puteri, Johor disempurnakan Gobind Singh.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Julai - Telekom Malaysia (TM) dan dan Nxera, cabang pusat data serantau unit InfraCo Digital Singtel telah mengadakan acara pecah tanah pembinaan pusat data mereka di Iskandar Puteri, Johor hari ini. 

 

Kampus pusat data 64MW yang canggih, mampan, ketersambungan tinggi dan sedia AI ini dijadualkan memulakan operasi pada 2026 akan memperkukuhkan infrastruktur digital berkualiti tinggi di Malaysia. 

 

Ia juga menyokong usaha kerajaan untuk memacu ekonomi digital dan menjadikan negara sebagai hab untuk pertumbuhan industri, pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan inovasi.

 

"Majlis pecah itu diadakan sebulan selepas pengumuman usaha sama membangunkan pusat data di Malaysia dan meningkatkan status hab digital negeri Johor," kata kenyataan bersama TM dan Nxera hari ini.

 

Majlis pecah tanah pembinaan kampus pusat data itu disempurnakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Kanan untuk Perdagangan, Industri dan Kebudayaan Singapura, Low Yen Ling.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Telekom Malaysia bekerjasama dengan Singtel bangunkan pusat data di Iskandar Puteri, Johor

 

low
Majlis pecah tanah kampus pusat data TM Nxera di Iskandar Puteri hari ini. Gambar Low Yen Ling.

 

Menurut kenyataan itu, dijadualkan beroperasi secara komersial pada tahun 2026, kampus pusat data Tier 3 yang didayakan awan ini akan menggunakan penyejukan cecair untuk mengendalikan beban kerja AI yang lebih tinggi. 

 

Katanya, kemudahan itu akan direka bentuk, dibina dan diperakui mengikut piawaian Leadership in Energy and Environmental Design (LEED), menggabungkan penyelesaian cekap tenaga dan air untuk mengoptimumkan penggunaan sumber. 

 

"Ini menggariskan komitmen bersama terhadap matlamat kemampanan jangka panjang. Untuk menyokong kampus pusat data baharu, usaha sama ini turut merancang untuk mengembangkan sambungan kabel dasar laut, membolehkan ekosistem digital berkembang pesat dan maju.

 

"Terletak hanya 16 km dari Singapura, kampus pusat data ini akan membolehkan pelanggan mengembangkan infrastruktur mereka dengan lancar meliputi rantau ini. 

 

"Tambahan lagi, pusat data ini berupaya menampung sehingga 200MW untuk memenuhi permintaan pasaran," kata TM dan Nxera.

 

Di samping itu, kata kenyataan itu, selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang penting untuk pertumbuhan negara, usaha sama ini akan melabur dalam mengasah bakat untuk industry pusat data dengan memupuk kerjasama antara universiti di Singapura dan Malaysia. 

 

"Ia menyasarkan untuk mereka bentuk kursus komprehensif dengan kurikulum khusus dalam menyediakan pelajar dengan pengetahuan yang lengkap dan kemahiran yang diperlukan untuk memacu aspirasi pertumbuhan Malaysia. 

 

"Bagi komuniti dan rantau ini, ini bermakna ketersambungan antara negara yang unggul dan ekonomi digital yang lebih pintar dan berdaya tahan," ujarnya.

 

Sementara itu, Gobind berkata, pelaburan oleh TM dan Nxera ini mengukuhkan kedudukan Malaysiasebagai hab digital di Asia Tenggara, memajukan pertumbuhan ekonomi negara.

 

"Berdasarkan anggaran awal, ekonomi Malaysia berkembang 5.8% pada suku kedua 2024, dan pelaburan sedemikian adalah sejajar dengan unjuran bahawa ekonomi digital Malaysia akan menyumbang 25.5% kepada KDNK negara menjelang akhir tahun. 

 

"Hubungan antara TM dan Nxera melibatkan Malaysia dan Singapura, dengan kedua-dua negara menjadi contoh yang baik bagi perkongsian kerja yang produktif antara dua negara anggota ASEAN," katanya. - DagangNews.com