Rakyat Kedah berpeluang cipta logo, nama khas buat Langkawi Designer Premium Outlet | DagangNews Skip to main content

Rakyat Kedah berpeluang cipta logo, nama khas buat Langkawi Designer Premium Outlet

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Rakyat di Kedah berpeluang untuk mencipta logo dan nama khas ‘Langkawi Designer Premium Outlet’ yang akan dibangunkan oleh Langkawi Ventures Sdn. Bhd. (BDBMBI), syarikat usahasama di antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

 

Penganjuran pertandingan mencipta logo dan nama khas ‘Langkawi Designer Premium Outlet’ itu akan bermula pada 7 November hingga 21 November 2021 dan terbuka kepada rakyat negeri ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, pertandingan mencipta logo dan nama khas ‘Langkawi Designer Premium Outlet’ berkenaan adalah salah satu inisiatif syarikat untuk memberi peluang kepada rakyat Kedah untuk terlibat secara langsung dengan projek berkenaan.

 

Katanya, projek itu akan memberi dimensi baharu kepada produkpelancongan di Langkawi dan sudah pasti akan lebih menarik sekiranya terdapat sentuhan anak tempatan di dalam penciptaan logo dan juga nama khas tersebut.

Faris Najhan Hashim
Faris Najhan Hashim 

 

 

“Peserta mestilah terdiri daripada anak jati yang lahir di negeri Kedah berumur 18 tahun ke atas dan mereka perlu mencipta logo dan nama dalam Bahasa Inggeris dan tidak mengandungi unsur atau elemen yang boleh dianggap sensitif.

 

“Peserta perlu memastikan logo yang dicipta hendaklah tulen dan asli serta tidak diciplak daripada mana-mana logo tempatan atau luar negara. 

 

"Setiap penyertaan hendaklah mematuhi garis panduan pertandingan yang telah ditetapkan dan boleh dirujuk di www.bdb.com.my/pertandingan-reka-cipta-nama-logo,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

kedah

 

Faris Najhanberkata, peserta berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

 

"Saya menyeru kepada semua rakyat Kedah yang mempunyai bakat kreatif dalam mencipta logo untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini dan bersama-sama dengan Kumpulan BDB untuk membangunkan Langkawi supaya terus harum di persada dunia,” katanya.

 

Projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 16.58 hektar di Padang Matsirat, bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di mana ia meliputi ‘Outlet Premium, outlet perniagaan, outlet makanan dan minuman serta kemudahan rekreasi kepada para pelancong dan juga masyarakat setempat.

 

Keseluruhan pembangunan memfokuskan kepada konsep membeli belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik Melayu. 

 

Fasa 2 yang juga merupakan ‘Jantung’ projek tersebut akan menyaksikan pembangunan ‘Outlet Premium’ di atas kawasan seluas 29 ekar dan akan menyaksikan penawaran kepada lebih banyak jenama antarabangsa yang premium pada harga yang kompetitif.-DagangNews.com