Ramai bercuti 'balas dendam' pada tahun 2023, jualan tiket bas, feri di platform redBus meningkat 60% | DagangNews Skip to main content

Ramai bercuti 'balas dendam' pada tahun 2023, jualan tiket bas, feri di platform redBus meningkat 60%

Platform redBus telah menyaksikan peningkatan jualan tiket bas dan feri sebanyak 60% pada 2023, berbanding 2022./ Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Jan - Platform pelancongan dalam talian, redBus mencatatkan peningkatan jualan tiket bas dan feri sebanyak 60 peratus pada 2023 berbanding tahun sebelumnya disumbang konsep percutian ‘balas dendam’ oleh rakyat Malaysia setelah melalui tempoh perintah kawalan pergerakan dalam beberapa tahun kebelakangan akibat pandemik.

 

Ketua Pegawai Perniagaan redBus, Krishnan Ramaswami berkata, di samping itu, peningkatan jualan yang direkodkan itu juga susulan inovasi syarikat bagi memenuhi keperluan penumpang Malaysia yang mahukan pengalaman perjalanan yang lebih mudah dan dipercayai.

 

"Secara umum, kemudahan dan fungsi tempahan tiket dalam talian, pengalaman mesra pengguna pada aplikasi redBus serta khidmat pelanggan kami yang cemerlang telah menarik minat pelanggan," katanya.

 

Sementara itu, redBus dalam kenyataan itu menjangkakan inovasi teknologi dalam industri bas terus memainkan peranan penting dengan pengguna mahukan penggunaan imbasan kod QR digunakan lebih meluas.

 

Kata kenyataan itu, menerusi tekonolgi itu, perjalanan lebih mudah, pantas dan menawarkan satu bentuk alternatif yang mudah kepada tiket fizikal. 

 

"Teknologi ini dijangka diadaptasi oleh lebih banyak syarikat pengangkutan dan pelancongan. Sebagai contoh, redBus Malaysia membenarkan penumpang menaiki bas dengan hanya mengimbas kod QR pada telefon bimbit mereka. 

 

"Dengan ini, redBus menyediakan kemudahan dan keselamatan tambahan – tiada lagi kehilangan tiket pada saat akhir dan menanggung kos pembelian semula," jelas syarikat itu.

 

logo

 

Kata redBus, bagi tahun ini, pihaknya menjangkakan jualan utama tiket akan terus disumbangkan oleh pelancong, selain daripada mereka yang menggunakan bas scara ulang alik seperti pelajar dan golongan bekerja.

 

Menurut syarikat itu, pengembaraan oleh penggemar seni dan makanan menjadi tumpuan dengan mereka bersedia menjelajah serata negara demi menyaksikan persembahan artis dan mencari makanan yang diminati.

 

"Pelancong memerlukan pilihan perjalanan yang fleksibel, mesra bajet dan yang dipercayai dengan mereka akan membentuk permintaan yang tinggi," kata kenyataan itu.

 

 

bas
Penumpang yang membeli tiket di platform redBus juga lebih bersedia untuk menempah tiket bas mewah, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, kata syarikat itu, setelah berlaku peningkatan ketara pada tahun lalu, corak perjalanan kini telah stabil. 

 

"Kami yakin situasi akan kekal serta mampu berkembang pada tahun-tahun mendatang," ujar kenyataan itu.

 

Dalam kenyataan itu, redBus berkata, data jualan tiket di Malaysia menunjukkan hari Khamis adalah hari paling banyak mendapat permintaan penumpang manakala Selasa paling kurang.

 

Masa perjalanan paling digemari ialah jam 10 malam manakala tarikh paling sibuk sepanjang tahun untuk perjalanan bas adalah semasa Deepavali diikuti cuti sekolah penggal pertama dan Hari Raya Aidilfitri.

 

Kebanyakan pengguna platform redBus pula membeli tiket satu hingga tiga hari sebelum perjalanan namun ada juga yang membeli sehingga 119 hari sebelum perjalanan.

 

Seperti mana lazimnya, perjalanan ke Kuala Lumpur menjadi destinasi paling popular diikuti Johor Bahru dan Melaka. - DagangNews.com